
CHICAGO: Bekas jurulatih gimnastik wanita di Michigan State University telah menyerah diri kepada pihak berkuasa kelmarin, bagi berdepan dakwaan bahawa dia berbohong kepada pihak polis yang menyiasat satu skandal pencabulan seks besar-besaran dalam sukan.
Bekas ahli gimnastik telah menuduh Kathy Klages sebagai bersikap tidak kisah terhadap serangan yang didalangi oleh Larry Nassar, bekas doktor yang mendera ratusan atlet di sebalik alasan rawatan perubatan, termasuk juara Olimpik seperti Aly Raisman, Kyla Ross dan Madison Kocian.
Nassar telah mengakui jenayahnya, mengaku bersalah, dan sedang menjalani tiga hukuman penjara yang akan memastikan dia dipenjarakan sepanjang hidupnya.
Pendakwa raya negara telah mengalihkan perhatian mereka kepada pihak yang mungkin telah dimaklumkan mengenai pencabulan tersebut, namun gagal untuk menghalang Nassar.
Klages bersara dari MSU pada tahun lepas. Dia adalah jurulatih gimnastik wanita dan bekerja dengan Nassar, yang merawat para atlet di universiti dan semasa acara serta latihan bagi Gimnastik AS.
Beberapa atlet mendakwa Klages telah diberitahu me-ngenai pencabulan oleh Nassar dan tidak mempercayai penuduh tersebut. Dia didakwa dengan dua tuduhan berbohong kepada penyiasat yang menyiasat bagaimana Nassar berjaya mengelak dikesan.
“Beberapa saksi berkata mereka telah melaporkan tentang pencabulan seksual oleh Nassar kepada Klages sejak lebih 20 tahun lepas,” menurut pejabat pendakwa raya umum dalam satu ke-nyataan.
“Klages menafikan kepada anggota penguat kuasa me-ngenai telah dimaklumkan tentang salah laku seksual oleh Nassar sejak 2016.”
Klages dituduh bagi satu feloni dan satu dakwaan bagi kesalahan kecil. Dengan dua tuduhan itu, ia boleh membawa kepada hukuman maksimum penjara selama enam tahun.
Dia telah dibebaskan de-ngan ikat jamin $5,000 dan dijangka kembali ke mahkamah pada minggu depan. Dia tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Peguam Klages membantah dakwaan tersebut, kata The Detroit News.
“Terdapat bukti yang tidak dapat disangkal yang akan menolak dakwaan yang telah dilakukan terhadapnya,” kata peguam belanya Takura Nyamfukudza. — AFP