Anda di sini

Empangan melimpah, ribuan penduduk terkandas

Advertisement
 Tentera menggunakan bot untuk membantu penduduk menyeberangi kawasan banjir               di bandar Swar di wilayah Bago semalam ketika usaha menyelamat memasuki hari kedua untuk sampai kepada ribuan penduduk yang terkandas di dalam rumah mereka di bahagian tengah Myanmar selepas air sebuah empangan melimpah akibat hujan monsun lebat. — Gambar AFP
BANTU: Tentera menggunakan bot untuk membantu penduduk menyeberangi kawasan banjir di bandar Swar di wilayah Bago semalam ketika usaha menyelamat memasuki hari kedua untuk sampai kepada ribuan penduduk yang terkandas di dalam rumah mereka di bahagian tengah Myanmar selepas air sebuah empangan melimpah akibat hujan monsun lebat. — Gambar AFP

BAGO: Penyelamat yang menaiki bot menelusuri perairan yang keruh semalam untuk sampai kepada ribuan penduduk yang terkandas di tengah Myanmar selepas air di sebuah empangan melimpah, dan menyebabkan banjir di tanah pertanian dan perkampungan.

Belum ada kematian dilaporkan tetapi media kerajaan berkata lebih 63,000 orang di wilayah Bago terjejas selepas empangan Swar Chaung melimpah pada awal pagi kelmarin.

Saluran limpahan empangan, struktur yang mengawal pengeluaran lebih 20,000 meter padu air yang bertakung dalam tetambak Swar Chaung, pecah disebabkan oleh hujan bermusim.

Ia merupakan banjir besar kedua yang disebabkan oleh kerosakan empangan sejak beberapa minggu yang lalu di wilayah itu, selepas sekurang-kurangnya 35 maut, puluhan hilang dan ribuan hilang tempat tinggal selepas sebuah kemudahan kuasa hidro pecah di negara jiran Laos.

Pemberita AFP dalam wilayah Bago melihat askar yang memakai jaket keselamatan oren dan dikerahkan untuk menyelamat mangsa yang terkandas, mengemudi bot tin kepada penduduk kampung yang menunggu di atas kawasan tanah lumpur.

Trak tersangkut dalam air keruh manakala jalan runtuh di bawah air yang berat dan masih mengalir merentasi kampung.

Terkial-kial selepas dia kehilangan rumah, Wai Lin Aung, 27, berkata pihak berkuasa tidak memberi amaran tentang apa yang perlu dibuat selepas empangan melimpah.

“Tidak ada orang yang memberitahu kami apa yang kami perlu buat, jadi kami hanya memantau paras air dan apabila situasi bertambah buruk, kami hanya lari sahaja,” katanya kepada AFP, dan menambah dia bermalam di sebuah biara.

“Bagaimana mungkin saya rasa selesa selepas melihat rumah saya musnah? Saya tidak ada tempat tinggal dan tidak ada makanan.”

Myanmar mengalami musim monsun dari Jun hingga November, tetapi penduduk tempatan di bandar Yedashe berkata mereka tidak pernah menyaksikan air yang begitu deras.

“Ia seperti sesuatu yang kami tidak dapat percaya,” kata Phyu Thi, 35.

Banjir yang berat turut meretakkan sebahagian daripada sebuah jambatan di lebuh raya Yangon-Mandalay yang menghubungkan dua bandar terbesar di Myanmar, sekali gus mengucar-kacirkan saluran trafik di negara itu.

Menteri Pembinaan Han Zaw semalam berkata 500 orang sedang berusaha untuk memperbaiki jalan, yang akan memakan masa kira-kira dua hari.

“Kita sedang berusaha untuk mengembalikan situasi pengangkutan kepada keada-an normal sebanyak mungkin,” kata Han Zaw.

Buat masa sekarang lebih 12,600 orang telah mencari perlindungan di kira-kira 30 kem sementara tetapi ramai lagi tidak tahu apa untuk dibuat.  

Kyi Win, 46, berjaya kembali ke perkampungannya untuk memeriksa keadaan rumahnya tetapi berkata dia akan terus tinggal di pusat perlindungan sementara.

“Beberapa rumah musnah sepenuhnya,” katanya, dan menjelaskan tandas rumahnya telah musnah.

“Buat masa sekarang, saya akan tinggal di biara kerana saya tidak dapat kembali ke sini.”

Banjir berlaku hanya beberapa minggu sahaja selepas hujan monsun lebat melanda Myanmar, dan menyebabkan banjir kilat berleluasa yang memaksa lebih 150,000 orang untuk meninggalkan kediaman mereka. — AFP

Advertisement