WASHINGTON: Bekas juara tinju ‘middleweight’ dunia Jerman Taylor ditangkap kelmarin atas tuduhan serangan domestik, stesen televisyen Arkansas KATV melaporkan.
Taylor, yang berusia 40 tahun pada awal bulan ini, ditahan di Penjara Pulaski County atas tuduhan melakukan serangan domestik darjah ketiga dan serangan serius, menurut satu laporan tangkapan yang dilihat oleh stesen Little Rock itu.
Laporan polis itu menyebut Taylor ditahan reman di kediamannya selepas dia menumbuk seorang wanita, meletak pisau pada lehernya dan mengugut untuk membunuhnya.
Polis tempatan menangkap Taylor pada Julai tahun lepas setelah dia dituduh menyerang seorang wanita yang menjalin hubungan dengannya, kata laporan polis, dan pendakwa raya kemudian menggugurkan dakwaan itu.
Laporan itu juga menyebut Taylor diberi hukuman penjara tertangguh selama 19 tahun dalam tiga kes berasingan, satu insiden serangan di sebuah kemudahan rawatan penyalahgunaan bahan dan tuduhan melakukan serangan serius dari satu perarakan Hari Martin Luther King di Little Rock pada Januari 2015 selain melakukan serangan dan mengugut seorang wanita pada Ogos 2014.
Dua bulan kemudian, Taylor bertarung dalam perlawa-nan terakhir dalam kariernya, dengan menewaskan pe-tinju Australia, Sam Soliman, di Biloxi, Mississippi, untuk memenangi kejuaraan ‘middleweight’ Persekutuan Tinju Antarabangsa buat kali kedua.
Dia kemudian dilucutkan dari mahkota itu kerana tidak dapat mempertahankannya kerana isu undang-undang dan kepulangan ke gelanggang tidak pernah berlaku, sekali gus menamatkan ka-riernya dengan rekod 33-4 dan satu keputusan seri.
Taylor memenangi pingat gangsa ‘light-middleweight’ di Olimpik Sydney 2000 dan memenangi 25 pertarungan profesional pertamanya, de-ngan menewaskan Bernard Hopkins untuk kejuaraan middleweight pada 2005 dan memenangi pertarungan semula untuk mencapai 25-0.
Pertarungan seterusnya adalah keputusan seri dengan seorang lagi petinju Amerika, Winky Wright, dan empat kekalahan dalam kariernya berlaku tidak lama selepas itu, kepada petinju Amerika, Kelly Pavlik, pada 2007 dan 2008 dan kepada petinju Bri-tain, Carl Froch, dan petinju Jerman, Arthur Abaraham, pada 2009. — AFP