Anda di sini

Relay kembali gegar arena Indie tempatan

Advertisement
 Nantikan kemunculan semula Relay.
KEMBALI: Nantikan kemunculan semula Relay.

KUCHING: Bagi peminat muzik Indie tempatan, nama band Relay pasti cukup sinonim dengan mereka.

Terkenal dengan genre British Indie Rock, Relay yang ditubuhkan oleh Wan Lutfee@Alim pada 2010 pernah menggegarkan arena muzik tanah air dengan single hit mereka ‘Provokasi’ yang dikeluarkan pada 30 Januari 2011.

Nama Relay mula meniti di bibir peminat Indie selepas mereka mengeluarkan single kedua berjudul ‘Teknologika’ yang dimuatkan dalam album EP bersama empat lagu tambahan ‘Oksigen’, ‘Kickout’, ‘Déjà vu’ dan ‘Oooppsss…..!’ pada Disember 2013.

Pada tahun sama, Relay juga telah mengeluarkan klip video lagu ‘Teknologika’ yang dirakam di Kuching.

Selepas menyepi selama lima tahun, Relay akan kembali menghangatkan arena Indie tempatan dengan single terbaru tidak lama lagi.

Selain Alim sebagai vokal utama dan gitaris, Relay turut dianggotai Adeel (gitar utama), Aziz (bass) dan Bendy (dram).

Menurut Alim, Relay telah lama berhasrat untuk membuat kemunculan semula namun niat itu tersekat ekoran komitmen tugas anggota band yang lain.

“Relay telah mengatur beberapa perancangan pada tahun 2018 dengan fokus utama kita untuk mengeluarkan single terbaru dalam masa terdekat,” katanya semasa temubual eksklusif baru-baru ini.

Ditanya lebih lanjut, beliau berkata buah tangan terbaru band itu akan menampilkan sedikit kelainan di mana beberapa lagu akan diolah dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Single terbaru kami berjudul ‘Let’s go… Let’s go’ di mana kita akan memuatkan beberapa lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris.”

Sebagai ‘pemanas badan’, Relay akan menemui peminat pada Festival Rona Bunyi & Tempatan Kuching Chapter yang akan diadakan pada Oktober depan di Kuching.

Festival itu turut disertai dua otai Indie di Malaysia, OAG dan The Times AKA termasuk beberapa band tempatan seperti A Sazalies, Saturday Heroes dan ramai lagi.

Maklumat lanjut mengenai Relay boleh diperolehi di laman facebook relay@relayband atau instagram relayband.

Advertisement