Anda di sini

Lobster Leleh semakin unggul di Super Spontan Xtravaganza

 Aksi kurang bertenaga yang dipentaskan oleh Siti Elizad menyebabkannya tersingkir.
TERSINGKIR: Aksi kurang bertenaga yang dipentaskan oleh Siti Elizad menyebabkannya tersingkir.

KUMPULAN Lobster Leleh sekali lagi mengungguli permainan spontan, Super Spontan Xtravaganza pada minggu lalu seterusnya menempa kemenangan pada minggu tersebut.

Sejak daripada awal permainan lagi kumpulan yang diketuai oleh Reza Zainal ini memberikan aksi yang cukup hebat dengan corak permainan yang teratur dan ‘punchline’ yang menjadi.

Tidak mahu kalah, Sotong Kangkung berusaha memberi saingan dan usaha mereka menampakkan hasil apabila mereka mengungguli beberapa permainan pada minggu lalu. Namun, semangat berterusan ahli kumpulan Lobster Leleh lebih memikat hati barisan juri serta penonton.

Aksi kurang bertenaga yang dipentaskan oleh Siti Elizad pada minggu lalu membawa padah apabila rakan sepasukannya sepakat untuk mengundi beliau keluar daripada permainan.

Dengan penyingkiran Siti Elizad, kini jumlah pemain di kedua-dua kumpulan kembali seimbang dengan lima pemain bagi setiap kumpulan.

Jika dilihat daripada segi barisan pemain Lobster Leleh dan Sotong Kangkung, kedua-duanya mempunyai kekuatan yang sama.

Pastinya saingan pada minggu ketujuh ini menjadi sangat sengit. Kumpulan manakah yang akan mengungguli permainan mingu ini? Adakah Loster Leleh sekali lagi? Atau Sotong Kangkung?

Sama-sama kita saksikan esok (Jumaat), jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan siaran serentak di Warna HD (saluran 124) secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.

Untuk pilihan alternatif, program menarik ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Bertemakan ‘tukang masak’, Super Spontan Xtravaganza membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh dengan imej ‘tukang masak di hotel’.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama seorang lagi juri jemputan.

Istimewanya, edisi kali ini menyaksikan dua orang awam yang dipilih menerusiprogram ‘Spontan Tepi Jalan’ akan dibawa ke gelanggang akhir Super SpontanXtravaganza sebagai peserta untuk bermain bersama barisan peserta akhir.

Selain itu, buat julung kalinya juga progam ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan daripada 100 peratus kuasa mutlak di tangan penonton kepada 50 peratus pemarkahan oleh barisan juri dan 50 peratus lagi penonton.

Juara Super Spontan Xtravaganza akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Naib juara pula akan membawa pulang RM50,000 dan sebuah trofi, tempat ketiga (RM25,000 dan sebuah trofi), manakala tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing RM5,000.

Advertisement