
OUAGADOUGOU: Tujuh anggota pasukan keselamatan maut awal kelmarin selepas kenderaan mereka terkena bom tepi jalan di timur Burkina Faso, kata sumber keselamatan.
Mangsa yang terkorban adalah anggota polis tentera dan anggota tentera yang telah dihantar ke bandar Pama sebagai anggota tambahan selepas sebuah balai polis di sana diserang, kata mereka.
“Tujuh anggota pasukan keselamatan dan pertahanan maut dan enam lagi cedera, dua daripadanya dalam ke-adaan tidak menentu,” satu kenyataan kerajaan menyebut tentang insiden itu tidak jauh dari Fada N’Gourma, bandar utama dalam Wilayah Timur.
Tiada kematian berlaku dalam serangan di Pama, tetapi sebuah balai polis telah dibakar.
Tiada maklumat segera diterima mengenai letupan tepi jalan berkenaan, tetapi ia menunjukkan ciri-ciri sera-ngan yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau jihad yang telah menggegarkan timur negara sejak beberapa bulan lalu.
Negara Sahel itu, salah sebuah negara paling miskin di dunia, bergelut dengan keganasan pelampau Islam sejak 2015, bermula dengan serangan antara sempadan di utara negara.
Serangan yang melonjak baru-baru ini di bahagian timur negara adalah hasil tekanan ke atas pemberontak jihad di Mali dan Niger, kata pakar.
Pada 11 Ogos lalu, empat anggota polis tentera dan seorang orang awam maut apabila kenderaan mereka melanggar bom periuk api kira-kira 100 kilometer dari Fada N’Gourma.
Mangsa keenam, juga seorang anggota polis tentera, maut kemudian dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan penyerang.
Pada 17 Jun, seorang anggota polis maut di bandar Comin-Yanga dalam satu serangan serentak ke atas balai polis dan balai polis tentera.
Pasukan keselamatan telah menjalankan siri tangkapan, menahan ratusan orang berhubung serangan tersebut.
Angka rasmi yang dike-luarkan pada April lalu me-nunjukkan 80 serangan telah berlaku dalam masa tiga tahun yang mengorbankan 133 orang, kebanyakannya pegawai kerajaan.
Ratusan sekolah dan dewan bandar sudah ditutup.
Ibu negara Ouagadougou, di bahagian tengah negara, mengalami tiga serangan dalam tempoh dua tahun, yang mengorbankan 60 orang. — AFP