Anda di sini

Sekolah daif di pedalaman Sabah akan diselenggara, bina bangunan baharu

Advertisement
 

NABAWAN: Kerajaan Sabah akan memastikan sekolah-sekolah daif di negeri itu, khususnya di kawasan pedalaman, diselenggara selain membina bangunan baharu bagi memberi keselesaan kepada pelajar sekali gus meningkatkan keberkesanan proses mengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob (gambar) berkata langkah itu juga bagi mengatasi masalah persekolahan dua sesi atau berkongsi bangunan sama antara sekolah rendah dan menengah.

“Ini adalah hasrat utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu memastikan rakyat di kawasan pedalaman dapat pendidikan yang seimbang. Kerajaan yang ada sekarang serius mengenai perkara ini (pendidikan),” katanya ketika berucap pada majlis lawatannya ke Pensiangan, di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul dan Timbalannya Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim.

Yusof berkata selain membaiki infrastruktur pendidikan, kerajaan baharu juga berhasrat memastikan pelajar miskin di luar bandar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata kementeriannya akan meminta autonomi bagi membolehkan kementerian tersebut menyalurkan peruntukan kerja-kerja menaik taraf dan membina sekolah daif sekali gus memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar.

Sementara itu, Yusof turut mengingatkan pemimpin akar umbi supaya mengelak mengejar jawatan seperti ketua kampung atau jawatan-jawatan di daerah masing-masing sehingga mengabaikan soal kebajikan rakyat. — Bernama

Advertisement