
LAHAD DATU: Operasi bersepadu Op Sarang menggempur tiga lokasi sarang penagihan dadah berasingan di daerah kecil Tungku pada Selasa.
Seramai 11 suspek berusia 19 hingga 52 tahun ditahan di Kampung Lok Buani Tanjung Labian, Kampung Sinakut Felda Sahabat dan Kampung Ulu Taburi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tiga suspek ditahan kerana memiliki dan positif dadah, seorang suspek disahkan positif dadah dan tujuh lagi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
"Pada operasi ini, polis turut merampas syabu seberat 5.03 gram pada badan suspek ketika polis melakukan pemeriksaan," katanya.
Kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Operasi bersepadu Op Sarang dilaksanakan secara bersama dengan Jabatan Imigresen Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.