Anda di sini

Pesta Orang Ulu 2018 tampil pelbagai juadah unik Orang Ulu

Advertisement
 Masyarakat Kayan menyampaikan ucap selamat sebelum meminum ‘Burak’ yang turut dikenali sebagai tuak beras oleh masyarakat tempatan.
TRADISI: Masyarakat Kayan menyampaikan ucap selamat sebelum meminum ‘Burak’ yang turut dikenali sebagai tuak beras oleh masyarakat tempatan.
 Tarian ‘Liling’ disertai orang ramai termasuk para jemputan.
MERIAH: Tarian ‘Liling’ disertai orang ramai termasuk para jemputan.
 Jane (kanan) menerangkan persiapan sajian dan menu yang disajikan pada Pesta Orang Ulu 2018.
PAKAR: Jane (kanan) menerangkan persiapan sajian dan menu yang disajikan pada Pesta Orang Ulu 2018.
 Hidangan Urum Ubih (kanan) dan Penganen Punti (kiri).
MANISAN: Hidangan Urum Ubih (kanan) dan Penganen Punti (kiri).
 Masyarakat Kelabit percaya dengan memakan Bua’ Sena’aq boleh menjadikan seseorang cerdik.
BERKHASIAT: Masyarakat Kelabit percaya dengan memakan Bua’ Sena’aq boleh menjadikan seseorang cerdik.

ORANG Ulu paling ramai terdapat di bahagian utara Sarawak dan menggunakan gelaran tersebut yang dipopularkan oleh Persatuan Kebangsaan Orang Ulu yang telah ditubuhkan pada 1969.

Mereka meliputi Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang, Bisaya, Kajang (Kejaman, Sekapan, Lahanan, Punan Bah, Seping dan Bemali), Penan serta etnik minoriti seperti Beketen, Berawan, Buket, Punan Busang, Saben, Sihan, Tagal, Tatu, Lakiput, Tabun-Tring dan Tanjong-Kanowit.

Makanan popular yang dipamerkan untuk juadah semasa Pesta Orang Ulu 2018 pada 25 Ogos lepas ialah ‘Dadi’ makanan Bisaya yang menyerupai pulut dimasak dengan santan kelapa dan dibalut dengan daun ‘kukub’ selain ‘Penganen Punti’ iaitu pisang yang dilenyek dan digoreng dengan pulut.

Selain itu, terdapat juga ‘Bua’ Laam’ makanan tradisi masyarakat Kelabit yang diperbuat daripada mangga tempatan dengan kantan, kucai dan daun silone, ‘Senamo’ daun timun muda, cendawan dan parutan ubi kayu.

‘Belabo Belatuh’ pula adalah daging lembu yang digoreng selepas diperam dengan garam bukit dan kayu manis, manakala ‘Luang Senanum’ terdiri daripada isi ikan dilenyek dengan biji kantan yang digoreng.

Tidak dilupakan ‘Nuba Laya Sia’ nasi padi bukit yang dilenyek dan dibalut dengan daun ‘Isip’, ‘Bua Petar Sena’aq’ buah petai yang dicincang halus dan digoreng dengan bilis, ‘Puluh Sena’aq’ rebung muda dicincang halus dan digoreng dengan garam Bario yang juga boleh digoreng dengan udang kering.

‘Urum Ubih’ dihasilkan daripada isi ubi kayu yang direbus, dilenyek dan digoreng manakala ‘Abpa Tabat Borak’ ialah minuman kayu manis liar yang terdapat di kawasan pergunungan dijadikan teh panas.

Masyarakat Berawan pula terkenal dengan ‘Biten’ iaitu bubur sayur yang dicampur dengan nasi sedikit, cendawan hitam yang dikeringkan, cendawan ‘splitgill’, herba Sarawak, tepus dan isi ayam.

Bagi masyarakat Kenyah pula, mereka terkenal dengan ‘Lekai Tong’ iaitu bubur sayuran dengan sedikit nasi, jagung muda, timun muda, kantan dan kacang bendi.

‘Daun Uvek Kelay’ ialah daun ubi kayu yang ditumbuk halus dan dimasak dengan buah dengan nama saintifik ‘Etlingera’ dan ‘Solanum Torvum’.

Kayan terkenal dengan sajian ‘Lohok Bavui’ iaitu babi hutan dimasak di dalam buluh bersama umbut kelapa muda dan ‘Itun Kelaleh’ (daun hutan yang digunakan sebagai perasa).

Sementara itu, pesta tersebut turut diserikan dengan persembahan tradisi kebudayaan Orang Ulu oleh nama-nama yang kian gah di persada seni tempatan seperti Alena Murang, Ezra Tekola, Pete Kallang, Mathew Ngau, Danison Manium dan Natalina Travis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) Dato Aloysius Dris, Presiden Persatuan-persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) Antonio Kahti Galis, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datu Ik Pahon, Timbalan Pengerusi FORUM Ipoi Datan dan Ahli Lembaga Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) Temenggung Austin Dimin.

Kesemua menu makanan dan cara penyediaan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak (SCV), Jane Lian Labang.

Advertisement