Anda di sini

Pelihara Taman Tun Mustapha tanggungjawab semua

Advertisement

KUDAT: Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan usaha untuk memastikan kawasan perairan Taman Tun Mustapha seluas 898,762.76 hektar terus terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh mengganggu ekosistemnya.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Mohamad Mohamarin berkata kajian agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan mendapati wujud eksploitasi penangkapan ikan secara berlebihan dan dikhuatiri mengancam spesies hidupan marin dalam kawasan taman laut negara berkenaan jika tidak kawal dan diatasi dengan baik.

“Saya dimaklumkan juga, berdasarkan kajian Reef Check oleh Taman-Taman Sabah dan WWF-Malaysia, yang dijalankan di beberapa tempat di kawasan Taman Tun Mustapha menunjukkan terdapat tanda beberapa spesis indikator seperti mameng, kerapu dan lain-lain  semakin berkurangan.

“Terdapat beberapa kerosakan terumbu karang akibat pengeboman ikan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Terumbu Karang Sedunia peringkat Taman Tun Mustapha di sini kelmarin.

Justeru, katanya apa penting kesedaran, pengetahuan dan kecintaan mendalam masyarakat terutama penduduk setempat terhadap kepentingan terumbu karang itu perlu dipupuk, bukan sahaja untuk ekosistem kawasan marin itu sendiri tetapi juga terhadap kehidupan harian mereka.

“...terumbu karang di Taman Tun Mustapha adalah milik kita bersama dan harus disayangi. Sebahagiannya perlu kita jaga bersama dengan baik kerana selain potensi keindahannya untuk pembangunan pelancongan, ia juga adalah tempat pembiakan, bertelur dan membesar sebagai rumah ikan,” katanya.

Mohamad berkata anak ikan yang dibiarkan dan dibesarkan di kawasan inilah kemudian akan berenang serta keluar ke tempat lain sehingga meningkatkan stok perikanan untuk dinikmati generasi hari ini dan akan datang.

Taman Tun Mustapha yang meliputi perairan daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, pernah dianggap sebagai antara kawasan yang memiliki spesis hidupan marin tertinggi di dunia selain pulau-pulau yang juga mempunyai gua serta pantai yang indah. — Bernama

Advertisement