Anda di sini

PPRT bagi OKU penglihatan diberi perhatian wajar

Advertisement
 Stephen menyampaikan sijil tamat latihan kepada salah seorang pelatih.
TAHNIAH: Stephen menyampaikan sijil tamat latihan kepada salah seorang pelatih.

SANDAKAN: Isu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi orang kelainan upaya (OKU) penglihatan di bawah Pertubuhan Orang Buta Sabah akan diberi perhatian sewajarnya oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong Tien Fatt.

Menurut beliau, ketika ini terdapat 11 rumah kayu menjadi tempat kediaman keluarga OKU penglihatan di perkampungan khas di Taman Cahaya, Batu 12 di sini, yang perlu dibaiki.

Katanya, ada daripada rumah berkenaan yang telah dibina sejak tahun 1970 lagi.

“Pihak kementerian akan cuba membantu untuk memperbaiki rumah-rumah itu. Selain itu, saya juga dimaklumkan, Taman Cahaya memerlukan 20 rumah PPRT lagi untuk keluarga OKU yang tidak mempunyai rumah.

“Saya akan membantu untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar agar rumah-rumah ini dapat dibina,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kemahiran Pelatih di Taman Cahaya Sandakan, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pihaknya akan melihat keperluan rumah di Taman Cahaya dan akan meneruskan ke tiga lagi pusat bagi orang buta yang terdapat di negeri ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk pusat berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata kementeriannya akan mengkaji keperluan menambah peruntukan untuk disalurkan kepada pertubuhan itu.

“Saya difahamkan peruntukan daripada kementerian saya tidak cukup bagi pertubuhan ini. Oleh itu, kita akan kemukakan kepada Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan dan saya rasa tidak ada masalah untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan. Pada masa sama, kita berharap agar lebih ramai pihak yang prihatin akan tampil membantu pertubuhan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak atau keluarga yang cacat penglihatan agar menghantar ke pusat latihan seumpama itu.

Katanya, pelbagai jenis latihan kemahiran dapat dipelajari sekali gus membolehkan mereka yang cacat penglihatan hidup lebih berdikari.

“Setakat ini, hanya 40 peratus OKU sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Am Sabah. Saya harap lebih ramai yang akan tampil mendaftar kerana banyak keistimewaan untuk mereka.

“Seperti di Taman Cahaya ini, pelatih menjalani latihan termasuk menulis dan membaca braille, menganyam bakul, bertani serta membuat kerja rumah, memasak dan belajar mengurut kaki. Mereka juga diajar bermain muzik dan menyanyi selain bermain sukan.

“Saya difahamkan 80 peratus daripada pelatih yang telah tamat latihan di Taman Cahaya ini akan mendapat pekerjaan dalam sektor urutan badan dan kaki. Malah ada antara mereka yang menjalankan perniagaan kedai urut,” jelasnya.

Pada majlis berkenaan, seramai 20 pelatih telah menerima sijil tamat latihan yang disampaikan oleh Stephen.

Advertisement