Anda di sini

Penduduk Petagas bakal terima impak positif

Advertisement
UDA bergambar bersama pakar dan ahli penyelidikan UMS.
UDA bergambar bersama pakar dan ahli penyelidikan UMS.

KOTA KINABALU: Rakyat di daerah Putatan khususnya penduduk di sekitar kawasan Petagas bakal menerima impak positif susulan rancangan 'memperbaharui' Sungai Putatan-Petagas dalam usaha meningkatkan produktiviti dan eko-pelancongan.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Uda Sulai berkata, satu kertas kerja serta kerjasama antara pihaknya dengan tenaga pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini sedang giat dijalankan dalam usaha merealisasikan cadangan berkenaan di masa hadapan.

Beliau yang juga Adun Petagas berkata, rancangan 'mega' itu dijangka memberikan manfaat menyeluruh kepada semua penduduk di Putatan termasuklah ekonomi, taraf hidup dan sosial selaras dengan skop 'Sustainable Development Goals' (SDG) yang dikelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kini, pihak DUN Petagas sedang menjalin satu usahasama dengan pihak UMS untuk mencari jalan penyelesaian memperbaharui, memperbaiki serta membersihkan Sungai Putatan-Petagas.

"Satu perbincangan dua hala sudah dilakukan baru-baru ini bagi mencari mekanisme terbaik untuk memperbaharui Sungai Putatan-Petagas nanti dan bagi tujuan itu, pelbagai langkah bakal diambil termasuklah mengkaji tahap pencemaran, biologi, sosial serta lain-lain perkara.

"Cadangan ini juga akan diusul kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan saya percaya beliau akan menyokong usaha murni kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat daripada pakar dan ahli penyelidikan UMS di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Rombongan itu dibarisi oleh pensyarah UMS terdiri daripada Profesor Dr Rosazman Hussin (Kemanusiaan dan Warisan), Profesor Madya Dr Jidon Adrian Janaun (Kejuruteraan), Profesor Madya Dr Gaim James Lunkapis (Kemanusiaan dan Warisan), Dr Aseyah Uy Abubakar (Kemanusiaan dan Warisan), Dr Lee Kuok Tiung (Kemanusiaan dan Warisan) serta Julius Kulip (Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan).

Advertisement