Anda di sini

Lelaki tempatan bebas tuduhan miliki anggota badan hidupan liar

Advertisement
MORIN
MORIN

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan bernasib baik apabila dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan memiliki anggota badan hidupan liar dan dilindungi, oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membebaskan dan melepaskan Morin Masain, 28, daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Sebelum ini, tertuduh dan Jupilin Mojungkat, 41, didakwa bersama, memiliki empat potong kaki dan satu pundi hempedu Beruang Madu (Helarctos Malayanus), hasil haiwan daripada spesies dilindungi.

Kesalahan dilakukan pada 20 Ogos 2016 jam 11.45 pagi, di KK 56 Food Court, Asia City, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabit bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Jupilin mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 5 Julai lepas serta dikenakan denda RM50,000 dan penjara dua tahun oleh mahkamah yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh menangguhkan menjalani hukuman dan dibebaskan dengan ikat jamin yang diberikan sebelum ini sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Abdul Karim Hj Dakog dari Jabatan Hidupan Liar, manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Rossana Usman.

  • oleh
  • Advertisement