Anda di sini

Hak Sarawak ke atas imigresen perlu dikekalkan: Karim

Advertisement
 Karim (tengah) bercakap kepada media di Kuching semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (kiri). — Gambar Chimon Upon
TEGAS: Karim (tengah) bercakap kepada media di Kuching semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Hak Sarawak ke atas bidang imigresen perlu dikekalkan selamanya demi kedaulatan dan kepentingan rakyat negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bidang imigresen bagi Sarawak adalah di luar kuasa politik.

Sama ada Kerajaan Sarawak dipegang oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH), hak imigresen adalah kekal seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (1963).

“Hak imigresen merupakan hak istimewa bagi kita di Sarawak dan Sabah.

“Kecuali hak itu dikeluarkan atau dipinda atau Kerajaan Sarawak mahu membatalkannya, baharulah hak itu boleh hilang dengan sendirinya.

“Pada pendapat saya, hak imigresen ini patut kita kekalkan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui selepas sidang media mengenai pertandingan Ratu Dunia Malaysia 2018 di sini semalam.

Ditanya mengenai permohonan daripada individu tertentu untuk dikeluarkan daripada senarai hitam imigresen Sarawak, Karim berkata Kerajaan Sarawak ada menerima beberapa permohonan.

Tetapi katanya, tindakan Kerajaan Sarawak menyekat kemasukan individu tertentu ke negeri ini adalah bersebab.

“Kerajaan Sarawak tidak mengambil keputusan sembarangan untuk menyekat sesiapa daripada masuk ke negeri ini.

“Mesti ada sebab mengapa sekatan dibuat, sama ada dari ucapannya yang melampau atau ada kes-kes tertentu yang boleh menggugat ketenteraman negeri ini,” katanya sambil menambah, Kerajaan Sarawak  tidak memilih sama ada BN, pembangkang, malah UMNO juga ada yang ditegah masuk ke Sarawak jika perlu.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin merupakan individu terbaharu yang dihalang masuk ke Sarawak oleh Jabatan Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 24 Ogos lepas.

  • oleh
  • Advertisement