
KOTA KINABALU: Kerjasama semua pihak penting dalam usaha membantu kerajaan baharu mengembalikan keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya Sabah penting untuk kerajaan melancarkan pelaksanaan agenda pembangunan yang dirancang.
"Penting bagi kita untuk melaksanakan agenda setelah mengambil alih kerajaan, kita mahu bantu rakyat dan bangunkan Sabah.
"Perkara penting dalam soal pembangunan adalah kita perlu menjana ekonomi. Kita sedar sebelum ini rakyat turut berhadapan masalah pengangguran, ketirisan dan kemorosotan tahap keyakinan rakyat terhadap kepimpinan terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pengedaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah 2018 anjuran Kumpulan BTC Berhad, di sini hari ini.
Beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan 2018 serta program yang dilaksanakan sempena hari bersejarah itu disambut bukan sahaja di peringkat kepimpinan kerajaan tetapi juga rakyat dan badan swasta.
Jaujan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut bersyukur kerana buat julung kalinya sambutan Hari Kemerdekaan itu disambut di bawah kerajaan baharu di Sabah dan peringkat Pusat.
"Di Sabah kita mempunyai Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR dan Upko untuk bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan di sini.
"Di peringkat Pusat pula, Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyambut hari bersejarah ini buat pertama kalinya," katanya.
Beliau turut memuji sikap rakyat Malaysia khususnya Sabah yang matang kerana bijak ketika melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan demokrasi.
Katanya, tidak banyak negara di dunia seperti Malaysia yang masih mampu mengekalkan perpaduan walaupun selepas berlakunya peralihan kuasa.
"Walaupun negara kita baru mencapai 60 tahun, tetapi saya teruja dengan kematangan rakyat Malaysia khususnya Sabah," katanya.
Hadir sama di majlis itu ialah Pembantu Menteri Kementerian Kewangan merangkap Adun Inanam Kenny Chua, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Ginun Yangus, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Pengarah Urusan Kumpulan BTC Berhad Datuk Abdul Kadir ME Sikkandar.