Anda di sini

Polis Sandakan percaya selesai 31 kes jenayah 

Advertisement
AZHAR (tengah) bersama Supt. Abdul Fuad (dua kiri) menunjukkan besi pecah rumah serta barang kes yang berjaya dirampas.
AZHAR (tengah) bersama Supt. Abdul Fuad (dua kiri) menunjukkan besi pecah rumah serta barang kes yang berjaya dirampas.

SANDAKAN: Polis Sandakan telah berjaya menyelesaikan 31 kes jenayah di sekitar daerah ini dalam lapan siri tangkapan sepanjang bulan Ogos ini.

Seramai 16 orang suspek terdiri daripada 14 warga tempatan dan dua lagi warga asing berumur antara 16 hingga 60 tahun ditahan berasingan kerana melakukan kegiatan jenayah. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata sepanjang bulan Ogos ini di mana pihaknya telah melakar kejayaan berterusan bagi membasmi kejadian jenayah secara proaktif khususnya menjaga kepentingan awam.

“Pihaknya telah menjalankan operasi iaitu Op Cantas, Op Pintu, Op Lejang dan Op Pencegahan Jenayah dan telah menahan lima individu dan tiga kumpulan dalam lapan siri tangkapan yang terlibat dengan kegiatan  curi harta benda, pecah rumah, ragut dan samun.

“Dalam lapan tangkapan itu, seramai 16 orang ditahan yang mana 13 dari mereka didapati positif dadah jenis syabu dan enam dari mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata dari enam yang mempunyai rekod jenayah ini dimana salah seorang dari mereka mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk kes dadah.

Azhar berkata pihaknya telah merampas pelbagai barangan iaitu 45 unit barangan termasuk sebuah kenderaan digunakan untuk kegiatan jenayah yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM99 ribu.

“Kesemua tangkapan ini direman untuk siasatan lanjut dibawah Sekyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 kanun yang saman serta Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam siding media di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sandakan, Balai Polis Bandar Sandakan, petang tadi (Isnin).

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt. Abdul Fuad Abdul Malek, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Rosdi Mat Jusoh dan pegawai kanan JSJ IPD Sandakan.

Azhar mengucapkan terima kasih kepada masyarakat awam atas kerjasama dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga tertangkapnya penjenayah-penjenayah ini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati orang awam agar lebih berhati-hati ketika membeli barangan daripada orang perseorangan dengan harga yang murah tidak kira secara langsung dan  melalui media sosial atau online.

“Ini kerana jika ditangkap membeli atau memiliki harta curi, seseorang itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 kanun yang sama,” tegasnya.

Azhar berkata operasi-operasi pencegahan jenayah akan terus dijalankan dari masa ke semasa dan pihaknya amat menggalakkan masyarakat di taman-taman perumahan agar membuat rondaan dalam membantu pihak polis.

  • oleh
  • Advertisement