Anda di sini

Cubaan seludup gagal, 1,800 telur penyu dirampas

Advertisement
ANGGOTA polis marin menunjukkan telur penyu yang dirampas bersama empat buah tong gas kosong.
ANGGOTA polis marin menunjukkan telur penyu yang dirampas bersama empat buah tong gas kosong.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup telur penyu ke daerah ini setelah berjaya merampas 1,800 biji telur penyu di kawasan jeti Hailing, Batu 2 di sini awal pagi Sabtu lepas.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Superintendan Abd Nasir Hj Othman berkata pada 25 Ogos kira-kira jam 5.30 pagi semasa menjalankan rondaan Ops Pensura Bil. 133/2018 yang diketuai oleh Kpl James Ampiras bersama tiga anggota PPM Sandakan menggunakan Bot Ronda RH 36.

"Semasa berada di kawasan jeti, pihak kita terlihat satu aktiviti mencurigakan dan beberapa orang kelihatan sedang memegang serta membawa plastik hitam dalam kuantiti yang banyak, lalu menghampiri mereka.

"Ketika pihak kita memperkenalkan diri sebagai polis, kesemua individu di jeti terbabit telah melarikan diri dan meninggalkan plastik-plastik hitam di atas jeti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada hari ini (Isnin).

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, menjumpai sebanyak 12 plastik hitam yang mengandungi 1,800 biji telur penyu dan empat buah tong gas kosong.

Katanya kesemua barang-barang berkenaan dirampas dan dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Enakman Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurutnya telur penyu berkenaan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Cawangan Sandakan, yang mana akan menghantar telur penyu itu ke Pulau Langkayan untuk proses penetasan yang dianjurkan bersama SIMCA bagi Projek Penetasan Telur Penyu.

Dalam pada itu, Abd Nasir berkata pihak PPM Sandakan dan Jabatan Hidupan Liar Cawangan Sandakan akan meneruskan operasi bersama dalam membanteras penyeludupan masuk atau penjualan telur penyu agar aktiviti ini dapat dibanteras sepenuhnya.

  • oleh
  • Advertisement