Anda di sini

RM30,000 berjaya dikumpul untuk mangsa kebakaran

Advertisement
JAUJAN menyerahkan replika cek kepada Hiew (dua kanan), turut kelihatan ialah Yeo (kiri) dan Aidi (dua kiri).
JAUJAN menyerahkan replika cek kepada Hiew (dua kanan), turut kelihatan ialah Yeo (kiri) dan Aidi (dua kiri).

KOTA KINABALU: Sejumlah RM30,000 berjaya dikumpul dalam satu pertandingan golf amal untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kesemua kutipan yang berjaya dikumpul itu akan diserahkan kepada mangsa-mangsa kebakaran dari tiga penempatan yang terjejas akibat kebakaran.

"Kita akan serahkan sumbangan ini kepada Kampung Air, Semporna, Penempatan atas Air Kg Gas Sandakan dan Kg Cenderamata 2 Likas.

"Setiap kampung akan mendapat RM10,000 hasil daripada kutipan dalam pertandingan ini," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan acara Pertandingan Golf Amal Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi KKTP, di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah salah satu usaha KKTP dan agensi kerajaan lain dalam memainkan peranan dengan memberikan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.

Dalam pada itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kelab Kebajikan dan Rekreasi KKTP disarankan untuk menganjurkan satu program gotong-royong mega bagi membersihkan persekitaran.

"Menjadi tanggungjawab kita agar setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan kawasan masing-masing sentiasa bersih dan selamat.

"Sabah dilihat sebagai sebuah negeri berpotensi besar dalam sektor pelancongan, tetapi perkara yang membimbangkan adalah soal kebersihan," katanya.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong yang bakal diadakan itu nanti perlu melibatkan semua masyarakat setempat.

Katanya, penting melibatan semua penduduk sekitar kerana sampah datang dari masyarakat itu sendiri.

"Oleh itu, menjaga kebersihan ini akan menjadi tanggungjawab bersama. Program ini nanti akan mengutamakan daerah yang berhadapan dengan masalah kebersihan," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement