Anda di sini

Manfaatkan kemudahan bantuan kewangan disediakan kerajaan

Advertisement
DARELL (tengah), Charon (kiri) dan Azizi ketika dalam sidang media itu.
DARELL (tengah), Charon (kiri) dan Azizi ketika dalam sidang media itu.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah disarankan untuk mengambil peluang sepenuhnya bagi mendapatkan kemudahan bantuan kewangan yang disediakan kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking berkata, beliau faham sikap rakyat Sabah yang 'malu' untuk mengambil peluang itu kerana memikirkan mereka tidak layak mendapatkan pinjaman yang disediakan.

"Ini adalah sikap kita di sini tetapi kini rakyat Sabah tidak seharusnya mengamalkan sikap itu dan perlu berfikir 'saya layak'...kini kita perlu bersifat lebih agresif.

"Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) telah menyediakan kemudahan itu bagi membantu anda...dan anda juga perlu membantu diri anda sendiri," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar MIDF Automation dan IR4.0 di sini hari ini (Sabtu).

Beliau berkata, pemohon yang layak tetapi permohonan mereka ditolak harus berani tampil mempersoalkan kenapa pinjaman mereka digagalkan.

Katanya, sebelum ini kelulusan pinjaman melibatkan faktor politik yang mana ahli politik sendiri memberikan tekanan kepada badan berkaitan untuk meluluskan pinjaman yang diutamakan.

"Saya fikir itu satu amalan yang salah, mereka (ahli politik) adalah profesional, MIDF juga profesional dan orang kita juga harus bersikap profesional," katanya.

Menurutnya, MIDF adalah satu badan yang ditugaskan bagi memastikan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh mendapat bantuan kewangan sebagai strategi negara ini untuk mempercepatkan pembangunan sektor berkenaan.

Katanya, kejayaan dicapai MIDF di Semenanjung Malaysia dilihat mampu mengulangi pencapaian itu di Sabah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Ketua Pembangunan Kewangan MIDF Azizi Mustafa.

  • oleh
  • Advertisement