Anda di sini

Budak 5 tahun maut dipercayai akibat rabies

Advertisement
 

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Batu Enam Jalan Penrissen maut dipercayai akibat jangkitan rabies, malam tadi.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 7 malam.

Difahamkan, mangsa digigit anjing liar di bahagian muka sekitar hujung Julai lalu dan telah mendapatkan suntikan vaksin anti rabies.

Bagaimanapun, tahap kesihatan kanak-kanak tersebut dikatakan semakin merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di HUS pada 2 Ogos lalu. 

Jika disahkan rabies, kanak-kanak tersebut merupakan mangsa ke-13 yang terkorban akibat rabies di Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 44 tahun dari Jalan Matang, yang meninggal dunia pagi Selasa, sebagai mangsa ke-12 yang maut akibat rabies.

Beliau berkata mangsa dimasukkan ke wad HUS pada 16 Ogos.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018. 

"Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Advertisement