Anda di sini

Persediaan kontinjen Sarawak memuaskan

Advertisement
 Karim (tengah) ketika bercakap pada sidang media dengan Pembantu Chef-de-Mission (ACDM) semasa mesyuarat yang diadakan di Kuching semalam.
MEMUASKAN: Karim (tengah) ketika bercakap pada sidang media dengan Pembantu Chef-de-Mission (ACDM) semasa mesyuarat yang diadakan di Kuching semalam.

KUCHING:Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyuarakan kepuasan terhadap persediaan yang sudah dilaksanakan kontinjen negeri ke Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) yang akan diadakan di Perak dari 11 hingga 22 September depan.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Pembantu Chef-de-Mission (ACDM) setiap persatuan sukan yang diadakan di sini semalam.

“SUKMA XIX hanya tinggal 22 hari lagi dan kita mesti bersedia menghadapi cabaran yang akan datang ketika pertandingan bermula,” katanya pada pertemuan itu yang dihadiri 90 peserta termasuk Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan yang juga Chef-de-Mission (CDM) dan Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee.

Karim turut menyuarakan rasa gembira dengan inisiatif yang dijalankan setiap persatuan sukan dalam menyediakan atlet mereka untuk pertandingan yang akan disertai lebih 3,000 atlet seluruh negara itu.

Menurut beliau, inisiatif tersebut adalah testimoni mengenai keazaman persatuan untuk membawa pulang pingat emas serta memberikan atlet pendedahan yang sangat diperlukan yang akan meningkatkan keyakinan dan kekuatan mental mereka.

“Akan ada pelbagai cabaran yang akan dihadapi para atlet kita semasa SUKMA di Perak dan oleh itu kita mesti bersedia menghadapinya,” tambahnya sambil menyeru kepada ACDM untuk bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan dalam menguruskan atlet negeri pada SUKMA akan datang.

Semasa mesyuarat itu, Karim turut berkongsi dengan penonton tentang pengalamannya dalam peristiwa SUKMA lalu dan menyatakan bahawa ada faktor yang boleh mempengaruhi prestasi dan keadaan mental para atlet apabila pertandingan bermula.

Beliau berkata adalah penting bagi ACDM dan penyelaras sukan dariPADA Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak supaya sentiasa berjaga-jaga dan memantau kesejahteraan atlet di SUKMA Perak kerana tempat persaingan akan diadakan di 13 lokasi yang berbeza.

“Akan ada cabaran tentang logistik dan kami bimbang serta akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan semua kemudahan diperlukan oleh para atlet SUKMA kita nanti,” tegasnya.

Sementara itu, Ong juga mendedahkan bahawa MSN Sarawak akan menubuhkan sekretariatnya di Ipoh, Perak seawal 4 September dan beberapa atlet negeri sudah berada di sana seawal 2 September sebagai sebahagian daripada persediaan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

“Beberapa sukan seperti golf dan wushu dijangka akan menghantar atlet mereka ke Ipoh, Perak awal bulan depan kerana mereka mahu bersedia awal serta menyesuaikan diri dengan keadaan di sana,” katanya.

Pembukaan rasmi SUKMA XIX akan diadakan pada 11 September dan upacara penutupan dijadualkan pada 22 September di Ipoh, Perak.

Advertisement