Anda di sini

Peminta sedekah Pala’u yang agresif membimbangkan

Advertisement

LAHAD DATU: Mengetuk cermin kereta dan bersandar ketika kereta bergerak perlahan merupakan antara tindakan agresif kanak-kanak Pala’u ketika meminta sedekah di Lahad Datu.

Tinjauan Bernama, antara lokasi tumpuan peminta sedekah cilik berumur antara lima ke 12 tahun itu adalah termasuk di lampu isyarat Bandar Sri Perdana di sini.

Rata-rata penduduk Lahad Datu yang ditemui melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan agresif golongan itu serta bimbang sekiranya berlaku kemalangan.

Maklumat dari Facebook Lahad Datu Info menyebut bahawa Pala’u dikategorikan sebagai kumpulan manusia ‘nomad laut’ yang hidup dalam perahu dan masih mengamalkan cara hidup berpindah randah dan sehingga kini status kerakyatan mereka sama ada rakyat Malaysia atau Filipina masih kabur.

Seorang penduduk, Aris Abbas, 43, berkata kanak-kanak ini bertindak agresif jika tidak diberikan sedekah dengan berdiri dan bersandar di hadapan kereta apabila lampu isyarat bertukar hijau.

“Mereka seolah-olah menghalang kenderaan untuk bergerak, selain jika tidak diberikan sedekah mereka bertindak mencalarkan kereta,” katanya kepada Bernama.

Bagi Nazrina Hashim, 26, turut senada mengenai perkara itu dan melahirkan rasa takut untuk memandu dan berhenti di lampu isyarat kerana pernah didatangi sekumpulan kanak-kanak Pala’u mengetuk cermin kereta meminta sedekah.

“Kita juga khuatir kalau terlanggar kanak-kanak ini tetapi mereka begitu berani dan tidak takut walaupun ditegur,” katanya.

Dalam pada itu, Labai Lasidi, 25, mengesyaki tindakan pengemis itu didalangi sindiket yang mempergunakan kanak-kanak Pala’u sebagai pengemis jalan.

“Saya ada terlihat, setiap pagi ada kereta yang menghantar kanak-kanak Pala’u ini ke lampu isyarat Perdana dan kemungkinan golongan ini dimanfaatkan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan,” katanya dan  berharap pergerakan Pala’u ini  di pantau pasukan keselamatan serta pihak berkuasa tempatan.

Dalam tinjauan Bernama juga mendapati ada beberapa wanita Pala’u  yang mengendong bayi bagi menimbulkan rasa simpati orang ramai ketika  meminta sedekah di lampu isyarat.

Kelmarin, status dan gambar dimuat naik pengguna Facebook Afiz Huzairi Ayub mengenai peminta sedekah Pala’u di Lahad Datu tular dengan lebih 1,000 perkongsian dan komen.

Afiz dalam statusnya berkata satu aduan dibuat kepada Majlis Daerah Lahad Datu mengenai kegiatan peminta sedekah di lampu isyarat di sini dan berharap pihak berwajib mengambil tindakan kerana perkara itu bukan isu baharu sebaliknya sudah lama.

Sementara itu, Rohani Suardi, 27, yang  berpandangan mencadangkan  kerajaan negeri bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam menangani masalah kebanjiran Pala’u di kawasan pantai timur Sabah.

“Kerjasama ini adalah bagi mengenal pasti identiti mereka selain  membantu komuniti Pala’u ini dari aspek pendidikan dan sektor pekerjaan,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement