Anda di sini

PBB keluar BN bukan kerana tidak setia: Dr Abdul Rahman

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (belakang, tujuh kanan) merakam kenangan bersama ahli PBB N.4 Pantai Damai selepas randau di Kampung Jaya Bakti kelmarin.
UNTUK ALBUM: Dr Abdul Rahman (belakang, tujuh kanan) merakam kenangan bersama ahli PBB N.4 Pantai Damai selepas randau di Kampung Jaya Bakti kelmarin.

KUCHING: Keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) keluar daripada Barisan Nasional (BN) bukan kerana tidak setia.

Tetapi menurut Naib Presidennya Dr Abdul Rahman Junaidi, keputusan tersebut dibuat demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak.  

Jelasnya, Sarawak mempunyai ramai pakar untuk membangunkan negeri ini dan tidak memerlukan campur tangan luar.

“Kita (PBB) keluar BN bukan tidak setia dengan kawan tetapi keperluan kita untuk membangunkan negeri ini mengikut kemampuan anak tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Randau PBB 2018 Cawangan N.4 Pantai Damai di Kampung Jaya Bakti malam kelmarin.

Kampung Jaya Bakti menjadi lokasi kedua penganjuran sidang tersebut selepas Kampung Panglima Seman Lama.

Beliau yang juga Menteri Muda Elektrik Luar Bandar menambah, Sarawak tidak memerlukan orang luar untuk membangunkan negeri ini selain menuntut hak yang terhakis.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan PBB keluar BN juga adalah sebagai usaha membuat keputusan sendiri untuk menuntut balik hak Sarawak terutama melibatkan industri minyak dan gas,” ujarnya.

Dalam situasi politik semasa, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menasihati pemimpin PBB peringkat akar umbi agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak sahih dalam media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.

“Kita perlu tapis maklumat yang diperoleh menerusi media sosial termasuk bertanya kepada pakar dan individu lebih mahir tentang sesuatu isu.

“Kalau kita ambil ringan perkara ini, maklumat tidak sahih boleh menggugat kemantapan PBB,” jelasnya.

Malah menurutnya, pemimpin PBB juga perlu terus memupuk perpaduan masyarakat bagi mengelak berlaku perpecahan.

“Sesiapa sahaja boleh masuk kampung kita untuk menyebarkan maklumat parti mereka tetapi harus tidak menyebabkan perpecahan masyarakat,” ujarnya pada randau tersebut.

  • oleh
  • Advertisement