Anda di sini

Musa Aman akan pulang ke tanah air 

Advertisement
Gambar Musa di hospital yang dimuat naik oleh Joh di Facebook beliau hari ini.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan kembali ke tanah air selepas menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London, walaupun tindakan itu bertentangan dengan nasihat doktor yang merawatnya.

Bekas setiausaha politiknya Joh Wid yang juga pegawai khas kepada Musa memaklumkan perkara itu dalam status yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, awal pagi tadi.

"Sebelum itu dia (Musa) perlu dirujuk ke Mount Elizabeth Hospital Singapura untuk menerima rawatan susulan. Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata kehilangan Musa sebelum ini adalah kerana bekas ketua menteri itu memerlukan rawatan susulan selepas menjalani beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung bagi memastikan keadaannya stabil. 

"Kini, tiba masanya dia pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa paksaan mana-mana pihak," katanya.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa Musa ‘melarikan’ diri ke London bagi mengelak beberapa siasatan pihak berkuasa ke atasnya, namun menerusi kenyataan beliau menjelaskan bahawa tindakan meninggalkan negara pada 16 Mei lepas itu adalah untuk menjalani rawatan perubatan di sana.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali dilaporkan berkata Musa mempunyai masa hingga 11 Sept depan untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan beliau kehilangan kerusi DUN Sungai Sibuga yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.

-- Bernama 
 

Advertisement