Anda di sini

Mayat ditemui selepas banjir surut di Kerala

Advertisement
 Anggota bomba dan penyelamat Kerala memikul kanak-kanak mengharungi air banjir                                                                                              semasa operasi menyelamat di kampung Annamanada di Daerah Thrissur, di negeri Kerala,                       selatan India kelmarin. — Gambar Manjunath Kiran/AFP
SELAMAT: Anggota bomba dan penyelamat Kerala memikul kanak-kanak mengharungi air banjir semasa operasi menyelamat di kampung Annamanada di Daerah Thrissur, di negeri Kerala, selatan India kelmarin. — Gambar Manjunath Kiran/AFP

KOCHI: Air banjir yang surut meninggalkan pasukan tentera India dan anggota penyelamat dengan tugas yang menggerunkan semalam bagi mencari mayat yang ditinggalkan oleh monsun terburuk dalam tempoh satu abad di wilayah Kerala ketika angka kematian meningkat melebihi 400 orang.

Dengan hampir satu pertiga daripada sejuta orang telah memenuhi kem sementara di wilayah selatan, terkenal dengan pantai pelancongannya dan pusat peranginan bukit, pihak berkuasa juga bimbang dengan wabak penyakit.

Selepas hujan lebat selama seminggu, hujan mulai berkurangan semalam dan paras banjir telah menurun di banyak daerah. Beberapa helikopter dan bot tentera meneruskan misi untuk mencari mangsa terselamat yang terperangkap dan menjatuhkan makanan serta air di kampung-kampung terpencil.

Pihak berkuasa berkata 22,000 orang telah diselamatkan kelmarin. Sekurang-kurangnya 30 mayat turut ditemui, menjadikan angka kematian melebihi 200 sejak hujan lebat mulai turun pada 8 Ogos dan lebih 400 sejak monsun bermula pada Jun.

Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan berkata keutamaan sekarang adalah untuk memberikan air minuman yang bersih dan mengembalikan bekalan tenaga elektrik ke wilayah ini yang mempunyai 33 juta penduduk.

“Jumlah orang yang berlindung di 5,645 kem sementara telah meningkat kepada 724,649 orang,” Vijayan memberitahu wartawan kelmarin.

Beliau menyatakan pegawai kesihatan akan dikerahkan di setiap kampung bagi membendung penyebaran penyakit berjangkit.

Ribuan anggota tentera darat, laut dan udara telah dikerahkan bagi membantu mereka yang terkandas di kawasan pergunungan dan terpencil.

Beberapa helikopter telah menjatuhkan bertan-tan makanan, ubat-ubatan dan air di sekitar kawasan yang terputus akibat jalan raya dan jambatan yang rosak.

Di kawasan yang teruk terjejas seperti Thrissur dan Chengannur, anggota penyelamat telah memeriksa rumah-rumah yang ditenggelami air di mana mereka menemui mayat penduduk yang terperangkap oleh banjir yang naik dengan cepat.

“Mereka tidak memikirkan bahawa ia akan naik setinggi itu – 10 hingga 15 kaki di beberapa kawasan – ketika amaran awal telah dikeluar-kan,” menurut Ashraf Ali K.M, yang mengetuai usaha pencarian di pekan kecil Mala di Thrissur.

Banjir telah menyebabkan kerugian dianggarkan pada $3 bilion namun nilai tersebut kemungkinan akan bertambah ketika skala kemusnahan menjadi lebih jelas. — AFP

Advertisement