Anda di sini

Mardi Gras Lambir berpotensi tarik kedatangan pelancong

Advertisement
 Wilson (kiri) menyampaikan cendermata kepada Uggah sambil disaksikan oleh (dari kiri) Adam, Lukanisman, Ripin, Jabu, Penguang dan Sherrina (kanan sekali).
UNTUKMU: Wilson (kiri) menyampaikan cendermata kepada Uggah sambil disaksikan oleh (dari kiri) Adam, Lukanisman, Ripin, Jabu, Penguang dan Sherrina (kanan sekali).

PERARAKAN penuh warna-warni dengan pakaian tradisional suku kaum, atau Mardi Gras Lambir 2018 yang dianjurkan buat kali keduanya pada tahun ini, mampu menjadi tarikan pelancongan pada masa akan datang jika dipromosikan dengan lebih giat lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyuarakan sokongan padu beliau terhadap penganjuran itu berkata Mardi Gras Lambir bukan sahaja platform untuk menunjukkan tradisi suku kaum negeri ini yang berwarna-warni tetapi juga keharmonian masyarakatnya yang berbilang bangsa dan etnik.

Sehubungan itu beliau mahu Mardi Gras berkenaan dianjurkan pada setiap tahun dan dipromosikan dengan lebih giat dan meriah lagi untuk tahun-tahun akan datang serta dianjurkan dalam skala lebih besar bagi membolehkan ia menjadi satu produk pelancongan yang berjaya dalam kawasan Lambir.

Sebagai membuktikan sokongannya, Uggah kemudian mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 untuk acara tersebut.

 Pasukan ‘pembuka laluan’ atau ‘Ngerandang Jalai’ diikuti oleh barisan tetamu kehormat dan seterusnya para kontinjen memulakan perarakan.
BUKA LALUAN: Pasukan ‘pembuka laluan’ atau ‘Ngerandang Jalai’ diikuti oleh barisan tetamu kehormat dan seterusnya para kontinjen memulakan perarakan.

Sebagai tambahan, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil turut menyumbang peruntukan sebanyak RM5,000 dan RM5,000 lagi daripada ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Sementara Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan ADUN Lambir Ripin Lamat, masing-masing menyumbang RM10,000 untuk menjayakan Mardi Gras 2018 ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran Mardi Gras yang berlangsung pada 18 Ogos itu ialah mantan timbalan ketua menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang; Residen Miri Sherrina Hussaini; Datuk Bandar Miri Adam Yii dan pengerusi penganjur Pemanca Wilson Siang Lim.

Dalam pada itu, sebanyak 20 kontinjen dengan lebih 600 peserta mengambil bahagian pada Mardi Gras itu yang memulakan perarakan dari padang bola sepak Sekolah Kebangsaan Lambir Village dan mengelilingi kawasan perkampungan Tunku Abdul Rahman (TAR) termasuk tujuh buah rumah panjang di situ, sejauh 2.4 kilometer.

 Persembahan daripada murid-murid SK Lambir Village menghiburkan hadirin.
MENGHIBURKAN: Persembahan daripada murid-murid SK Lambir Village menghiburkan hadirin.

Selain kampung dan rumah-rumah panjang di sekitar Lambir, Beluru dan Subis, turut mengambil bahagian dalam perarakan tersebut ialah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak di Miri.

Bagi memeriahkan lagi acara Mardi Gras tahun ini, jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Ketua-ketua Masyarakat Iban Daerah Miri dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 1 Taman Tunku, Pusat Khidmat Parlimen Sibuti dan Pusat Khidmat DUN Lambir, sambil dibantu oleh Pejabat Residen dan Daerah Miri serta Majlis Bandaraya Miri (MBM), turut mengadakan Ratu Mardi Gras, sukaneka, karaoke dan cabutan bertuah.

Sementara itu, kontinjen Sungai Ukong muncul pemenang kontinjen terbaik untuk menerima hadiah wang tunai RM1,200, tempat kedua jatuh kepada kontinjen ketua-ketua masyarakat Beluru, Bakong yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan tempat ketiga dimenangi kontinjen Sungai Setulai Baru yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800.

Bagi hadiah kontinjen paling kreatif pula, dimenangi oleh kontinjen Bukit Kebaloi.

 Salah satu kontinjen yang mengambil bahagian.
UNIK: Salah satu kontinjen yang mengambil bahagian.
Advertisement