Anda di sini

Liga Perdana Inggeris: Aguero teruskan rentak cemerlang

Advertisement
 Jesus (kiri) melepaskan rembatan sebelum menjaringkan gol kedua City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield di Stadium Etihad, ManchesterAhad lepas. — Gambar AFP
TEPAT KE SASARAN: Jesus (kiri) melepaskan rembatan sebelum menjaringkan gol kedua City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield di Stadium Etihad, ManchesterAhad lepas. — Gambar AFP

MANCHESTER, England: Sergio Aguero menjaringkan hatrik ketika Manchester City membelasah Huddersfield 6-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lepas.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu memulakan perlawanan di gelanggang sendiri musim ini dengan bergaya di mana Aguero meneruskan rentak cemerlang beliau dari musim lepas.

Pemain antarabangsa Argentina, yang mencecah usia 30 tahun pada penutup musim, sekarang sudah menjaringkan 14 gol dari lapan perlawanan liga terakhir di Stadium Etihad.

Aguero, yang juga penjaring terbanyak City, menyertai bekas bintang Liverpool, Robbie Fowler yang menjaringkan sembilan hatrik dalam Liga Perdana.

Hanya bekas bintang Newcastle dan Blackburn Rovers, Alan Shearer, menjaringkan hatrik terbanyak dalam sejarah dengan 11 kali.

Kemenangan besar City menggariskan kenapa mereka menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dengan memecah banyak rekod musim lepas.

Kekuatan dalaman skuad jelas tergambar dengan Guardiola masih mampu meletakkan Kyle Walker, Riyad Mahrez dan Raheem Sterling di bangku simpanan.

Dan walaupun City mendapat berita buruk pada pertengahan minggu di mana perancang utama mereka, Kevin de Bruyne perlu berehat selama sehingga tiga bulan kerana kecederaan lutut, keupayaan Guardiola menurunkan pemain gantian menunjukkan kekuatan dalaman pasukannya musim ini.

Dan selepas asakan demi asakan City, yang menguasai hampir 80 peratus permainan, mereka hanya membuka jaringan pada minit ke-25, permulaan tiga gol dalam tempoh 10 minit.

Ederson, penjaga gol City, melakukan satu umpanan jauh yang dikawal cantik oleh Aguero sebelum melepasi kawalan Christopher Schindler dan merembat menewaskan penjaga gol Ben Hamer, yang keluar lebih awal dari posisinya.

Enam minit kemudian, Benjamin Mendy bertukar hantaran dengan Gabriel Jesus di sayap kiri sebelum rembatannya menerjah jaring.

Dan gol ketiga menyusul apabila Hamer gagal menepis kemas hantaran lintang Mendy, membolehkan Aguero menolak bola mudah dari jarak dekat.

David Silva menunjukkan penguasaannya di bahagian tengah dan sentiasa mencemaskan pertahanan Huddersfield, memastikan penyokong City tidak merasai ketiadaan De Bruyne.

Tetapi Huddersfield menyentak City seketika apabila dari serangan pertama pada perlawanan itu, mereka menembusi pintu gol tiga minit sebelum rehat dari rembatan Jon Gorenc Stankovic.

Ia memberikan Guardiola satu idea pada masa rehat dan tiga minit selepas rehat, City kembali selesa di hadapan dengan jaringan Silva dari satu tendangan percuma cantik.

Silva, yang menjadi pemain City ketiga selepas Joe Hart dan Richard Dunne yang membuat 250 penampilan liga untuk City, ditukarkan dengan Mahrez pada minit ke-64 tetapi rentak permainan tidak berubah dengan Agero melengkapkan hatriknya pada minit ke-75  sebelum gol sendiri Terence Kongolo melengkapkan jaringan pada minit ke-84. — AFP

Advertisement