Anda di sini

Jeffrydin & Saleem hiburkan para peminat di Bintulu

Advertisement
 Jeffrydin berinteraksi dan bermesra dengan para peminatnya dan yang hadir.
‘SPORTING’: Jeffrydin berinteraksi dan bermesra dengan para peminatnya dan yang hadir.

BINTULU: Persembahan dua penyanyi popular tahun 1960-an Datuk Jeffrydin dan bekas vokalis kumpulan rock Iklim tahun 1990-an iaitu Saleem cukup menghiburkan warga Bintulu yang memenuhi ruang hadapan pentas utama di Pekarangan Qapong Food Court (QFC), Parkcity Commerce Square sempena Karnival ADAP40rty 2018 malam kelmarin.

Karnival itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula Jumaat dan Ahad merupakan anjuran ADAP40rty Global Group of Companies menyajikan pelbagai persembahan hiburan, pameran produk dan sebagainya.

Bermula dengan persembahan dua pemenang pertandingan nyanyian karaoke tempatan, suasana hangat dengan kemunculan Datuk Jeffrydin yang membawa lagu popularnya

`Kenanganku’ merupakan lagu dalam album mini (EP) yang pernah terjual 150,000 unit satu ketika dahulu.

Dengan sambutan peminat yang di luar dugaan, persembahan diteruskan lagi dengan dendangan beberapa buah lagu popular lain oleh Jeffrydin dan yang menjadi pujaan para peminatnya iaitu ‘Siti Haida’, ‘Seruling Anak Gembala’ dan juga ‘Mas Mona’.

 Saleem berinteraksi dengan seorang peminat dan menguji vokal peminat terbabit untuk mendendangkan lagu Kamelia sebelum diberikan hadiah.
TAWARAN HADIAH: Saleem berinteraksi dengan seorang peminat dan menguji vokal peminat terbabit untuk mendendangkan lagu Kamelia sebelum diberikan hadiah.

Tidak puas hanya berada di atas pentas, pemilik nama sebenar Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman itu turun dari pentas utama untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan para peminatnya sambil mendendangkan lagu-lagu terbabit. Ada antara peminat yang turut menari bersamanya termasuk berswafoto dan Jeffrydin turut mengemukakan beberapa soalan berkaitan karnival untuk hadirin pada malam itu.

Jeffrydin sangat terkenal dengan gaya menyanyi sambil menggoyangkan badan di samping dianugerahkan dengan kelunakan suara dan persembahan menarik di atas pentas sehingga menjadikan namanya sentiasa meniti di bibir peminat.

Imej serta keunikan suaranya semasa mendendangkan lagu bukan sahaja popular pada zaman Pop Yeh Yeh tahun 1960-an bahkan pada masa kini gaya persembahan dan lagu-lagu masih diminati serta malar segar bahkan menjadi ikutan ramai. Jeffrydin juga sentiasa menjadi bualan serta diundang dalam pelbagai program di negara ini seperti dalam karnival seumpamanya.

Irama Pop Yeh Yeh wujud dari pengaruh kumpulan The Beatles dari England bermula pada 1965 hingga 1971 dengan perkataan pop yeh-yeh telah diambil dari judul lagu popular kumpulan itu iaitu `She Loves You-Yeh,Yeh,Yeh’.

 Sebahagian daripada warga Bintulu yang hadir teruja menyaksikan persembahan Datuk Jeffrydin dan Saleem.
TERUJA: Sebahagian daripada warga Bintulu yang hadir teruja menyaksikan persembahan Datuk Jeffrydin dan Saleem.

Jeffrydin yang berasal dari Singapura sinonim dengan irama Pop Yeh Yeh dan telah melalui zaman kegemilangan sekitar era 1960-an serta telah menghasilkan lebih 30 buah album sepanjang bergelar sebagai penyanyi.

Artis istimewa yang turut ditunggu-tunggu pada malam itu ialah Saleem atau nama sebenarnya AM Salem Abdul Majeed yang mendendangkan lagu-lagu popularnya dengan penuh bersemangat dengan suara unik dan serak-serak basah.

Antaranya lagu yang didendangkannya dari album singlenya ialah ‘Tinggal Kenangan’ termasuk mendendangkan beberapa buah lagu dari kumpulan dan penyanyi tersohor negara antaranya lagu `Hidup Bersama’ dalam versi rock (pemilik dan penyanyi asalnya A.Ramlie yang seangkatan dengan Jeffrydin serta dibawa semula dalam versi rock oleh kumpulan XPDC).

Saleem terus menghiburkan yang hadir dengan dendangan lagu ‘Kamelia’ merupakan lagu dari kumpulan Sweet Charity yang popular dan menjadi siulan melalui vokalisnya Datuk Ramli Sarip diikuti menyampaikan lagu `Blues Terengganu Kita’ bersama hadirin yang turut menyanyi bersamanya dan persembahan penutupnya adalah lagu `Suci Dalam Debu’ secara berduet.

Suasana lebih meriah pada malam itu apabila Saleem turut mengemukakan soalan kepada yang hadir dalam persembahannya berkaitan dengan kumpulan Iklim dan pencipta lagu `Suci Dalam Debu’ serta beberapa soalan lainnya.

Satu-satunya yang menjadi memori indah buatnya ialah beliau turut belajar satu perkataan ‘vaie’ di samping turut mengimbau kenangannya berada di Bintulu membuat persembahan dalam acara Pesta Ria satu ketika dahulu.

Seakan tidak puas dengan persembahan itu Saleem turut mencadangkan agar peminatnya ke Kuala Lumpur pada 9 September akan datang atau yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu untuk menyaksikan persembahan istimewanya.

“Akan ada `showcase’ di Kuala Lumpur pada 9 September akan datang,” kata Saleem sambil menyeru peminat yang berkesempatan untuk hadir dalam program showcase itu mendapatkan tiket dengan harga RM100.

Selain persembahan dua artis popular itu serta majlis rasmi, persembahan hiburan lainnya membabitkan acara bergendang, bermukun dan bertandak turut diadakan yang mana dua pengacara majlis yang tidak asing lagi di Bintulu iaitu Kamal Hassan dan Ali Sabri Saber Ali Khan berjaya me-ngen-dali-kan majlis dan persembahan hiburan pada malam itu dengan lancar serta jayanya.

  • oleh
  • Advertisement