Anda di sini

Dewan Negara lulus RUU Cukai Jualan 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Senarai lebih 5,000 barangan yang dikecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mungkin berubah bergantung kepada keadaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan rakyat tetap mendapat manfaat sewajarnya.

“Ia (jumlah barangan) mungkin bertambah atau mungkin juga berkurang. Namun, secara amnya kita boleh jangka ia tidak akan berkurang tetapi saya tak mahu bagi jaminan untuk sesuatu yang saya belum dapat maklumat terperinci.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang tak nak bagi janji kosong. Saya tak nak bagi jawapan am sahaja, secara ikhlas kita nak berdepan dan tak mahu sembunyi-sembunyi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Negara semalam.

RUU itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan undian suara majoriti di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Terdahulu, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin ketika membahaskan RUU itu mahu kerajaan menyatakan jaminan supaya senarai barangan dikecualikan SST akan kekal selain mahu bertanyakan kekerapan senarai barangan disemak.

Dalam pada itu, Lim berkata tiada jaminan harga barangan akan turun selepas SST dilaksanakan pada 1 Sept ini kerana beberapa faktor termasuk harga minyak yang menyebabkan penambahan pada kos barangan.

“Saya tak pernah nyatakan SST akan menyebabkan harga barangan turun. Saya kata sekiranya harga barang naik, kesannya akan lebih ringan daripada GST iaitu separuh ringan kerana kutipan cukai hanya RM21 bilion berbanding GST RM44 bilion,” katanya.

Beliau juga berkata pendekatan secara liberal akan digunakan dalam melaksanakan SST yang mana peniaga dibenarkan untuk mengisytiharkan barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai.

“Ia macam income tax assesment tapi sekiranya tidak, pihak kastam akan menggunakan pemeriksaan sistem pengkomputeran untuk menyemak, dan sekiranya mereka (peniaga) tidak bercakap benar tentu akan dikenakan penalti dan tindakan,” katanya.

Tambah Lim, produk rokok dan tembakau akan dikenakan cukai jualan pada kadar yang ditetapkan namun ia mengecualikan daun tembakau kerana ia adalah produk pertanian yang bukan sebahagian daripada aktiviti pengilangan. — Bernama

Advertisement