Anda di sini

Anak Sarawak rangkul gelaran Mr Malaysia 2018

Advertisement
 Hafizul (melutut) berkongsi kejayaan bersama rakan-rakan pesaing dari negeri kelahirannya Sarawak.
KEBANGGAAN SARAWAK: Hafizul (melutut) berkongsi kejayaan bersama rakan-rakan pesaing dari negeri kelahirannya Sarawak.

KUCHING: Lans Koperal Mohd Hafizul Tuah merangkul gelaran Mr Malaysia 2018 pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan di Melaka, Ahad lepas.

Hafizul, 29, merupakan yang terbaik antara sembilan juara kategori pada akhir kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Amatur Melaka (MAWBA).

Terdahulu anak kelahiran Sarawak ini memenangi kategori light heavyweight (85-90kg) yang melayakkannya ke pertandingan ‘Champion of Champions’.

“Saya telah terlibat dalam sukan ini sejak 2016 dan bekerja keras untuk melayakkan diri ke kejohanan ini dan ia sedikit mengharukan menerima pengiktirafan ini,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya sebelum ini, Hafizul berkata ia bukan perjalanan yang mudah kerana perlu mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung perbelanjaan terutama makanan dan makanan tambahan.

Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik kerana menerima sokongan yang kuat daripada keluarganya, rakan-rakan serta pegawai yang bertanggungjawab di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Hilir termasuk bantuan makanan tambahan daripada Vita Xtrong.

“Ucapan terima kasih khas saya tujukan kepada Superitenden Gazali Yunus dan Sarjan Othman Yahya, yang merupakan jurulatih saya kerana tidak pernah gagal mengingatkan saya mengenai latihan setiap hari,” katanya.

Kejayaan Hafizul dinobatkan sebagai Mr Malaysia 2018 turut menerima sorakan daripada pasukan Sarawak meskipun bertanding mewakili pasukan polis.

“Saya memang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi saya bangga sebagai rakyat Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu pasukan Sarawak muncul pemenang tempat ketiga keseluruhan di belakang PDRM dan johan keseluruhan pasukan Kuala Lumpur.

Wakil Sarawak Huang Chee Yan memenangi kategori Middleweight bagi kategori bina badan senior.

Tahun ini, seramai 117 atlet menyertai kejohanan ini mewakili 14 kontinjen negeri dan tiga badan beruniform iaitu PDRM, Angkatan Tentera dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Ke-50 akan diadakan tahun depan di Kota Kinabalu, Sabah.

  • oleh
  • Advertisement