Anda di sini

Warga asing didenda RM100,000, penjara tiga tahun

Advertisement
WILSON (tengah) ketika diiringi pegawai perhutanan selepas selesai dijatuhkan hukuman.
WILSON (tengah) ketika diiringi pegawai perhutanan selepas selesai dijatuhkan hukuman.

KOTA KINABALU: Seorang warga asing dikenakan denda RM100,000 dan penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memiliki hasil hutan tanpa kebenaran pada awal Ogos.

Hakim Ainul Shahrin Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Wilson Ator, 27, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku bersalah untuk pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30 (1)(g) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (2)(b) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia didapati bersalah memiliki lima ikat dan beberapa keping kulit tangar yang disyaki diambil tanpa kebenaran yang sah di sisi undang- undang.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 Ogos jam 7 pagi di Hutan Simpan Bakau Semenanjung Bengkoka, Sungai Kakarangan, Pitas.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara 12 bulan dan mahkamah turut mengarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas tamat menjalani hukuman.

Semasa diberikan peluang merayu diringankan hukuman, Wilson memberitahu mahkamah bahawa dirinya mempunyai tanggungan lapan orang adik-beradik selepas ibu bapanya sudah tiada.

Pegawai Pendakwa Mahali Yusin dari Jabatan Perhutanan bagaimanapun, menegaskan bahawa hukuman berat harus dikenakan kerana tertuduh melakukan gangguan dan kerosakan habitat pokok, serta menceroboh hasil hutan negeri ini.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan kesemua barang rampasan hendaklah dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.

  • oleh
  • Advertisement