Anda di sini

Tiada kompromi berhubung kerosakan Terminal Bas Bersepadu Sandakan

Advertisement
STEPHEN (tengah) meninjau kerosakan pada tiang penyokong di bahagian tempat mengambil penumpang di Terminal Bas Bersepadu Sandakan.
STEPHEN (tengah) meninjau kerosakan pada tiang penyokong di bahagian tempat mengambil penumpang di Terminal Bas Bersepadu Sandakan.

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung aspek keselamatan di Terminal Bas Bersepadu Sandakan.

Sebaliknya, beliau mahu pihak berkaitan termasuk arkitek, konsultan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil tindakan sepatutnya berhubung kerosakan struktur pada tiang penyokong di bahagian tempat mengambil penumpang.

Pada Jumaat lalu, beberapa batang tiang penyokong mengalami kerosakan selepas ditiup angin kencang dan hujan lebat yang melanda daerah ini.

"Belum pun terminal ini beroperasi, tetapi sudah terjadi perkara seperti ini. Oleh itu, saya mahu pihak terlibat untuk memberi saya satu laporan lengkap termasuk tindakan susulan untuk masalah ini dalam masa terdekat.

"Saya dapat tahu besi di dalam tiang penyokong ini tidak cukup panjang. Kalau boleh, saya mahu tiang-tiang ini dibina semula dengan lebih kukuh.

"Selain itu, perlu ada sokongan kabel dari atas bumbung ke bawah agar ia lebih kukuh dan kuat terutama berdepan cuaca buruk kelak.

"Keselamatan adalah keutamaan. Oleh itu, saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan kerosakan tiang penyokong di bahagian mengambil penumpang di Terminal Bas Bersepadu di Kilometer 1, Jalan Lintas Utara di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran Sandakan Faridah Giau.

Sebelum ini, Stephen juga telah memberi tempoh selama tiga bulan kepada pihak berkenaan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang menyebabkan terminal itu masih belum layak mendapat Sijil Layak Menduduki (OC).

Berbaki empat bulan menjelang akhir tahun, beliau mahu pihak terlibat mencari langkah susulan segera agar terminal itu boleh beroperasi selewat-lewatnya akhir tahun ini selepas dilaporkan mengalami tiga kali kelewatan penyiapan pembinaan.

Advertisement