Anda di sini

Pengasuh didakwa aniaya kanak-kanak tiga tahun dengan beri susu panas

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring pegawai polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar Bernama
Tertuduh (kiri) diiring pegawai polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar Bernama


MELAKA: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan memberi susu panas sehingga menyebabkan lidahnya melecur, tahun lepas. 

Martini Marjono, 25, didakwa melakukan perbuatan itu di No 51, Lorong 1, Jalan Desa Duyong 1, Taman Desa Duyong di sini, pada 10.30 malam, 6 Jun, 2017. 

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Martini yang juga ibu kepada kanak-kanak berusia dua tahun, merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan dia bekerja kilang dan hanya berpendapatan RM1,000 sebulan. 

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept untuk sebutan semula kes. 

-- Bernama
 

Advertisement