Anda di sini

Muhammad Hazim Azhari Yang Dipertua ABIM Sarawak yang baharu

Advertisement
 Barisan kepemimpinan ahli jawatankuasa kerja ABIM Negeri Sarawak yang baharu untuk sesi 2018/2019.
TERAJU BAHARU: Barisan kepemimpinan ahli jawatankuasa kerja ABIM Negeri Sarawak yang baharu untuk sesi 2018/2019.

PARA perwakilan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak sebulat suara memilih Muhammad Hazim Azhari sebagai Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak untuk sesi 2018/2019.

Pelantikan itu dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (Muktamar Sanawi)  ABIM Negeri Sarawak kali ke-39 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di Kuching, pada 4 Ogos lalu.

Selain Muhammad Hazim, jawatan Timbalan Yang Dipertua disandang oleh Mohamad Raufa Irman Abdul Raub manakala Naib Yang Dipertua 1 dan Naib Yang Dipertua 2 masing-masing disandang oleh Mohamd Rahmat Jamali dan Sharifah Afifah Wan Morshidi.

Bagi jawatan Setiausaha Negeri pula disandang oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh, Setiausaha Kewangan Noratirah Rambli dan Penolong Setiausaha Awang Syazuan Shafiq Awang Jaya.

Kesemua dilantik itu merupakan ahli jawatankuasa kerja (pimpinan kanan) yang baharu untuk ABIM Negeri Sarawak sesi 2018/2019.

Selain itu, Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak bersama para pimpinan kanan sesi 2018/2019 turut mencapai kesepakatan memilih 17 lagi ahli jawatankuasa kerja ABIM bagi melengkapkan keseluruhan 24 jawatan dalam sesi kepemimpinan kali ini.

Ia adalah selari dengan perkara 5.5.1 (a) Perlembagaan ABIM yang memperuntukkan hak budi bicara kepada Jawatankuasa Kerja ABIM untuk meniadakan dan menggantikan jawatan portfolio seperti tersenarai dalam perlembagaan dengan persetujuan bertulis Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat.

Sehubungan itu, barisan kepemimpinan ABIM Negeri Sarawak yang baharu merakamkan penghargaan kepada barisan kepemimpinan sebelummnya diteraju oleh Wan Azizan Wan Zainal (Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak sesi 2017/2018) atas jasa dan khidmat bakti mereka.

“Transisi ini merupakan kesinambungan misi perjuangan bersama yang harus dilihat sebagai suatu proses lumrah dalam organisasi. Apa yang menjadi keutamaan ialah perjuangan ini  kita teruskan walau di mana pun posisi kita tempati,” kata kenyataan media ABIM Negeri Sarawak yang dikeluarkan di Kuching, baru-baru ini.

Kata kenyataan itu, menginjak usia 40 tahun (1978-2018), ABIM Negeri Sarawak akan terus komited dengan penerusan agenda pembinaan generasi belia yang berketerampilan dan berkepemimpinan serta menggiatkan usaha pendidikan dan pembaikan dalam kalangan masyarakat Sarawak khasnya.

Dalam pada itu, sempena dengan perhimpunan agung tahunan tersebut, dua acara iaitu Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak dan juga, majlis Peringatan Haul ke-100 Tahun Sheikh Haji Othman Abdul Wahab al-Sarawagi turut diadakan.

Seramai 283 peserta terdiri daripada para perwakilan, pemerhati Muktamar ABIM seluruh negeri Sarawak dan orang ramai menyertai sesi Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak pada sesi pagi.

Sementara lebih 800 menyertai majlis Peringatan Haul ke-100 Tahun Sheikh Haji Othman Abdul Wahab al-Sarawagi yang diadakan pada sesi malam.

Pada sesi tersebut, Wan Azizan telah menyampaikan ucapan penegasan yang bertajuk ‘Menelusuri Sejarah, Memartabatkan Keadilan dan Masyarakat Madani’.

Advertisement