Anda di sini

Kerajaan kenal pasti cabaran perlu dihadapi dalam industri hiliran

Advertisement
MADIUS (dua kanan) menyempurnakan gimik penyerahan dokumen angkat sumpah kepada Chua ketika di majlis itu.
MADIUS (dua kanan) menyempurnakan gimik penyerahan dokumen angkat sumpah kepada Chua ketika di majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sudah mengenal pasti cabaran-cabaran yang perlu dihadapai bagi memastikan kelancaran perkembangan industri hiliran di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, cabaran seperti logistik akan diatasi dengan membina lebih banyak kemudahan infrastruktur khususnya dari segi perkapalan.

"Kita akan mengembangkan infrastruktur perkapalan selain meningkatkan keberkesanannya agar mampu menarik kapal-kapal antarabangsa melalui di sini.

"Perkara yang kritikal adalah bagaimana cara untuk meningkatkan bilangan kargo kerana kita perlu meningkatkan jumlah produk eksport dari Sabah," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Persatuan Kayu-Kayan Sabah (STIA), di sini hari ini.

Beliau berkata, ia adalah cabaran utama kerajaan negeri dalam usaha memperkenalkan industri hiliran kepada pelabur khususnya produk berasaskan kayu, getah, kelapa sawit, petroleum dan sebagainya.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, sektor industri kecil dan sederhana juga akan diberikan perhatian daripada kerajaan.

"Kita inginkan rakyat Sabah terlibat secara langsung dalam industri ini khususnya dalam menghasilkan produk-produk tempatan," katanya.

Menurutnya, penglibatan Sabah dalam industri hiliran sangat penting selain mempunyai potensi besar dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Katanya, tahun lalu industri hiliran berasaskan kayu di Semenanjung Malaysia bernilai RM22 bilion. Produk perabot sahaja menyumbangkan RM6 bilion daripada jumlah itu.

"Balak kalau ditebang dan dijual...nilainya hanya sekali sahaja, sebaliknya jika diproses nilai tambahnya akan berganda seterusnya memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga ingin melihat STIA dapat bekerjasama untuk merealisasikan sumbangan industri hiliran kayu kepada ekonomi negeri.

Hadir sama ialah Presiden STIA Chua Yeong Perng.

  • oleh
  • Advertisement