Anda di sini

Kerajaan kaji harga barang keperluan - Guan Eng

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh ke atas masalah struktur yang disebabkan oleh kuasa monopol, yang menyumbang kepada masalah kenaikan harga barang keperluan, termasuk gula, di negara ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (gambar) berkata sebagai contoh, harga runcit gula di peringkat antarabangsa hanya RM1.40 (satu kilogram) namun harga di Malaysia sebanyak RM2.90 (se kilogram).

“Ini adalah masalah struktur dan kuasa monopoli yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Meraka hanya mahu keuntungan yang mereka tetapkan, dan menggunakan kuasa monopoli untuk kekalkan harga brangan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Khairudin Samad pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Lim berkata pengumuman mengenai kajian harga gula itu akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selain masalah struktural dan kuasa monopoli, Lim berkata isu keseimbangan permintaan dan penawaran juga merupakan antara faktor yang menyebabkan harga barang masih berada pada tahap yang sama, walaupun kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikurangkan pada kadar sifar mulai 1 Jun.

“Selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan menghindari pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan menaikkan harga untuk meraih keuntungan berlebihan, KPDNHEP akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk membendung isu kenaikan harga barang melalui pelbagai langkah kawalan harga serta inisiatif,” katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut termasuk menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan pencatutan menerusi Operasi Anti Pencatutan (OPS CATUT).

“Sesi penglibatan dengan persatuan pengguna dan agensi kerajaan juga akan diadakan, dan langkah penguatkuasaan ke atas perniagaan akan dijalankan secara berterusan di seluruh negara,” katanya.

-- Bernama
 

Advertisement