Anda di sini

‘Crazy Rich Asians’ dikatakan titik perubahan Hollywood

Advertisement
 (Dari kiri) Michelle Yeoh,  Henry Golding dan Constance Wu
WATAK UTAMA: (Dari kiri) Michelle Yeoh, Henry Golding dan Constance Wu

LELAKI yang kaya dan tampan menawan hati gadis yang muda dan manis. Ia adalah fantasi untuk melancarkan seribu kisah cinta, tetapi filem komedi romantik terbaharu Hollywood mempamerkan lebih daripada eskapisme sentimental.

‘Crazy Rich Asians’, yang meraikan selama dua jam kekayaan menakjubkan, pakaian mengagumkan dan ideal cinta, lengkap dengan heroin yang perlu lebih licik daripada ibu teman lelakinya yang suka mengarah serta bekas teman wanita kekasihnya yang kejam, merupakan adaptasi yang setia kepada buku antarabangsa paling laris daripada penulis Singapura-Amerika, Kevin Kwan.

Lebih penting lagi, ia merupakan filem Hollywood pertama dalam tempoh sesuku abad yang memaparkan barisan majoriti pelakon Asia – satu pencapaian yang tidak dapat ditandingi sejak ‘The Joy Luck Club’ pada 1993 dan filem yang memacu publisiti besar-besaran dalam dunia hiburan Amerika Syarikat (AS).  

Ia muncul setahun selepas ‘The Big Sick’ menjadikan Kumail Nanjiani wira komedi romantik kelahiran Pakistan yang pertama di Hollywood dan beberapa bulan selepas ‘Black Panther’ menjadi filem yang mengaut pendapatan ketiga tertinggi sepanjang zaman di Amerika Utara.  

Kwan menolak tawaran bayaran ‘yang begitu besar’ dari Netflix, untuk menyertai Warner Bros. Pictures dan tayangan sinematik umum, dengan hasrat untuk menghantar mesej dan meletakkan penanda bagi resit ‘box office’ yang diterajui orang Asia.

Kempen publisiti besar-besaran nampak berjaya.

The Hollywood Reporter menjangka filem itu akan mengaut sekurang-kurangnya AS$28 juta di ‘box office’ dalam tempoh lima hari pertama di Amerika Utara, naik daripada AS$20 juta beberapa minggu lalu.

Pengarah Jon Chu mahu filem itu meyakinkan ketua-ketua di Hollywood bahawa projek yang diterajui orang Asia menawarkan keuntungan tinggi, sekali gus membuka pintu kepada perwakilan yang lebih tinggi.

“Bahawa kami berbaloi bagi masa itu, kami berbaloi bagi tenaga itu dan berbaloi bagi usaha itu,” katanya kepada Fox News.

“Pengalaman sinematik tiada tolok bandingnya dalam konteks seperti itu, meletakkannya di dalam muzium, dalam kotak kaca dan berkata ini adalah istimewa.”

Difilemkan di lokasi di Malaysia dan Singapura, dengan bajet yang dilaporkan sebanyak AS$30 juta, barisan pelakonnya hampir semuanya berbangsa Asia, Asia-Amerika dan diaspora Asia.

Hasilnya, aktres dari Amerika, Constance Wu, berpeluang untuk memakai gaun mewah manakala warga Britain-Malaysia, bekas pengacara BBC dan pendandan rambut, Henry Golding, berpeluang untuk menjadi Cary Grant bagi musim panas 2018.

- ‘DUNIA ADALAH TIRAM ANDA’ -

“Kita tidak melihat perkara itu ketika membesar. Kita tidak merasakan bahawa kita dapat menjadi wira kisah kita sendiri. Saya berpendapat setiap kanak-kanak harus rasa berharga dan rasa disayangi,” kata Wu sambil menitiskan air mata kepada NBC News.

“Saya mahu sampai ke peringkat di mana ia bukan tajuk berita utama bahawa ini adalah filem pertama dalam tempoh 25 tahun,” kata Golding.

“Marilah kita menyampaikan cerita, itulah sebabnya Hollywood diwujudkan,” katanya kepada NBC.

Reviu kebanyakannya positif, asalkan anda mengetepikan rasa tidak percaya bahawa seorang wanita Milenial dari New York yang cerdik tidak pernah sekali pun mencari maklumat dalam ‘Google’ mengenai lelaki yang sudah berpacaran dengannya selama setahun.

Jadi kita melihat profesor ekonomi berbangsa Cina-Amerika, Rachel Chu, terbang ke Singapura untuk cuti musim bunga bersama teman lelakinya yang juga pensyarah, Nick Young, dipercayai tidak tahu bahawa dia adalah “Putera William Asia”.

Nick memikirkan tentang perkahwinan, membawanya ke majlis perkahwinan rakannya dan berjumpa dengan keluarganya, tetapi Rachel mendapati keluarganya “lebih kaya daripada Tuhan”.

Dimasukkan ke dalam adunan itu adalah barangan kemas yang berkilauan, jet persendirian, gadis-gadis kaya yang celupar, konflik kelas dan loghat Inggeris yang tajam, mengejek bukan sekadar seorang gadis dari Queens, tetapi Amerika.  

Bakal ibu mertua, Eleanor, lakonan Michelle Yeoh, memaparkan segala kesombongan, manakala komedi datang dari penyanyi rap dan aktres AS, Awkwafina, yang membawa watak rakan Rachel yang baharu kaya namun berniat baik, Peik Lin.

Satu tinjauan ke atas filem-filem popular dari 2007-16 oleh Universiti Southern California mendapati hanya 5.7 peratus watak adalah watak orang Asia, dan hanya tiga peratus pengarah berbangsa Asia atau Asia Amerika.

Walau bagaimanapun orang Asia Amerika terdiri daripada penonton filem per kapita kedua tertinggi pada 2017 selepas orang Latino, meurut Persatuan Filem Amerika.

Orang Asia mewakili enam peratus daripada populasi AS dan merangkumi lapan peratus daripada peminat yang kerap menonton filem, katanya.

“Kepentingan melihat wajah Asia di atas sana bukan sesuatu yang saya tidak sedari,” kata Chu kepada NBC.

“Bagaimana rasanya jika saya seorang kanak-kanak untuk melihatnya, untuk menyedari kita dapat menjadi seorang pemuda tampan dan seluruh dunia adalah tiram anda.” — AFP

Advertisement