Anda di sini

Autostrade tawar 500 juta euro bantu Genoa

Advertisement
 Gambar serahan Pejabat Media Quirinal menunjukkan Presiden Itali Sergio Mattarella (depan) melawat tempat kejadian sebelum menghadiri upacara rasmi pengebumian mangsa di Genoa, kelmarin. —Gambar AFP
MEMILUKAN: Gambar serahan Pejabat Media Quirinal menunjukkan Presiden Itali Sergio Mattarella (depan) melawat tempat kejadian sebelum menghadiri upacara rasmi pengebumian mangsa di Genoa, kelmarin. —Gambar AFP

GENOA: Ketua syarikat gergasi infrastruktur Itali yang dikecam teruk susulan runtuhan jambatan di Genoa menyatakan kelmarin sejumlah 500 juta euro akan disediakan bagi membantu bandar itu dan untuk membina semula jejambat.

“Berdasarkan jumlah itu, kami telah menyerahkan setengah bilion euro dan dana ini akan diperolehi mulai Isnin,” ketua eksekutif Autostrade per l’Italia Giovanni Castellucci menyatakan dalam sidang media.

Castellucci menyatakan Autostrade, yang membina hampir separuh rangkaian jalan raya di Itali, mampu membina jambatan besi baharu dalam masa lapan bulan.

Saham dalam Atlantia, syarikat pentadbiran Autostrade, merosot teruk minggu lepas selepas kerajaan menyatakan ia akan cuba untuk membatalkan kontrak jalan raya yang amat berharga.

Castellucci turut menyatakan dana bernilai jutaan euro akan diberikan kepada majlis bandar raya Genoa untuk keluarga mangsa kemalangan tersebut, yang telah membunuh sekurang-kurangnya 40 orang.

Sebuah dana lagi bernilai puluhan juta akan diberikan kepada pihak bandar bagi membantu menempatkan semula ratusan orang yang dipindahkan dari kediaman mereka selepas jambatan itu runtuh Selasa itu.

Pengerusi Autostrade Fabio Cerchiai menyatakan sekiranya Autostrade diberikan kebenaran mereka akan bersedia membina jambatan baharu pada hari ini.

“Semua yang kami perlukan adalah kebenaran untuk melakukannya,” menurut beliau.

Cerchiai turut menyatakan Castellucci akan kekal sebagai CEO di sebalik arahan kerajaan agar pihak pengurusan kerajaan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, kedua-duanya enggan memberikan komen mengenai hubungan tegang syarikat dengan pihak kerajaan baharu, meliputi pihak antipembangunan Five Star Movement dan Liga Nasionalis.

Menteri utama Luigi Di Maio, Matteo Salvini dan Danilo Toninelli menghentam pihak pengurusan Autostrade susulan kemalangan itu, mempersalahkan pihak syarikat yang kurang penyelenggaraan sekali gus antara punca yang menyebabkan runtuhan tersebut.

Jejambat Morandi dibina sejak 1960 dan berdepan masalah struktur selama beberapa dekad, membawa kepada penyelenggaraan mahal serta kritikan teruk pakar kejuruteraan.

Castellucci tidak menawarkan sebarang sebab kenapa jambatan itu runtuh, menyatakan semua laporan syarikat mengenai jejambat itu menyatakan ia berada dalam keadaan yang baik, dan gambar dari kamera pengawasan kabur akibat hujan lebat semasa runtuhan.

“Namun ini adalah tertakluk kepada pemeriksaan dan ujian pihak kehakiman.

“Kami semua ingin mengetahui apa yang telah berlaku,” kata beliau.

Castellucci menyatakan Autostrade akan melakukan pemeriksaan pada setiap jambatan dalam rangkaian sepanjang 3,020 kilometernya.

“Jambatan di dalam rangkaian kami adalah selamat, namun saya telah meminta semua orang agar melakukan satu analisis yang kritikal.

“Keadaan berjaga-jaga berlebihan kelihatan idea yang bagus buat masa sekarang,” jelas beliau. — AFP

Advertisement