
LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal maut selepas hilang kawalan merempuh lori lalu disambar pacuan empat roda di selekoh Kilometer 30 Jalan Lahad Datu Sandakan, dekat sini, pada Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 petang menyebabkan mangsa yang dikenali Rizal Rudi, 25, mengalami cedera parah dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Lahad Datu jam 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata hasil siasatan awal mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Sandakan.
"Apabila sampai di kawasan selekoh kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan dalam masa yang sama sebuah lori tanker cuba mengelak ke bahu kiri jalan.
"Namun mangsa terlanggar tayar belakang lori itu lalu tercampak di atas jalan yang kemudiannya sebuah kenderaan pacuan empat roda tidak sempat mengelak lalu terlnggar mangsa," katanya.
Menurutnya, kesan geseran pada atas jalan menunjukkan motosikal diseret sejauh 78 meter hingga ke bahu sebelah kiri jalan.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.