Anda di sini

Pelajar digalak sertai aktiviti mampu tingkat semangat cintakan negara

Advertisement
LIAU (lima kanan) menyerahkan replika cek kepada Loh ketika di majlis itu, turut kelihatan ialah Koh (dua kanan) dan Alani (kanan).
LIAU (lima kanan) menyerahkan replika cek kepada Loh ketika di majlis itu, turut kelihatan ialah Koh (dua kanan) dan Alani (kanan).

TAWAU: Para pelajar digalakkan untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang boleh membantu memupuk sifat cintakan negara dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme masyarakat negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Liau Fui Fui berkata, aktiviti seperti pertandingan menyanyi lagu-lagu patriotisme sememangnya boleh mewujudkan semangat kenegaraan dalam diri masing-masing.

"Khususnya pelajar sekolah, pertandingan ini bukan sahaja dilihat sebagai satu platform untuk mencungkil bakat menyanyi, tetapi juga boleh meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Pertandingan Menyanyi lagu Patriotik Sekolah-Sekolah Menengah 2018, di sini pada malam Sabtu.

Beliau yang mewakili Menteri Belia dan Sukan Frankie Poon turut menjelaskan, pihak kementerian sangat menggalakkan aktiviti seumpamanya diadakan untuk para pelajar membina dan memupuk semangat cintakan negara dalam diri masing-masing.

Katanya, semua masyarakat bermula dari belia perlu mempunyai amalan hormat-menghormati dan toleransi di antara satu sama lain walaupun hidup dalam berbilang kaum.

Sementara itu, artis jemputan Lim Wen Sue turut gembira dijemput untuk membuat  persembahan pada majlis berkenaan.

"Hari ini saya akan mendendangkan dua buah lagu iaitu Kita Anak Malaysia dan Sejahtera Malaysia.

"Saya juga ingin mendoakan agar Malaysia semakin maju dan selamat menyambut hari kemerdekaan," katanya.

Dalam majlis yang sama, Kementerian Belia dan Sukan turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM14,000 kepada kelab-kelab persatuan Cina di tujuh buah sekolah menengah sekitar Tawau.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penasihat Alumni Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sin Hwa Koh Kian Leong, Pengerusi Pemuda Persatuan Teochew Tawau Low Hong Tat, Pembantu Pengarah OMK Cipta Alani Othman serta tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement