Anda di sini

Jalinkan kerjasama dengan rakan industri di negara jiran

Advertisement
 Abang Abdul Karim merasmikan program ‘Startup Borneo Pre-Pitching’ Siri Kedua di MPC Wilayah Sarawak, Kuching semalam.
RASMI: Abang Abdul Karim merasmikan program ‘Startup Borneo Pre-Pitching’ Siri Kedua di MPC Wilayah Sarawak, Kuching semalam.

KUCHING: Golongan usahawan termasuk syarikat-syarikat permulaan tempatan disaran menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan industri di negara-negara jiran termasuk Indonesia untuk mengembangkan perniagaan.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg berkata, jalinan kerjasama itu akan membuka peluang perniagaan sekali gus menguntungkan kedua-dua pihak.

“Misalnya, upacara penyerahan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara StartUp Borneo dan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia Kalimantan Barat (HIPMI KALBAR) hari ini (semalam) merupakan platform terbaik kepada kedua-dua negara berjiran, Sarawak dan Indonesia.

“Saya harap peluang kerjasama antara kedua-dua organisasi terbabit dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan semua bidang yang boleh memberi sumbangan kepada pasaran,” katanya kepada media selepas merasmikan program Startup Borneo Pre-Pitching Siri Kedua di sini, semalam.

Beliau percaya, banyak potensi baharu yang boleh diwujudkan di antara Sarawak dan Indonesia menerusi kerjasama ini.

Bagi pihak MPC Wilayah Sarawak, Abang Abdul Karim berkata, perbadanan akan berusaha untuk membantu mereka supaya segala aktiviti yang dijalankan meraih kejayaan.

Terdahulu, Abang Abdul Karim memuji inisiatif StartUp Borneo menerusi program sedemikian yang bertujuan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan usahawan.

Justeru katanya, program itu harus dimanfaatkan dengan melibatkan lebih ramai usahawan atau syarikat permulaan yang berpotensi dibangunkan di Sarawak demi kebaikan mereka pada masa hadapan.

Seramai 20 peserta terdiri daripada golongan usahawan, pereka dan syarikat permulaan dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Indonesia menyertai program tersebut.

Objektif program ialah menggalakkan para pencipta, pereka dan usahawan untuk tampil dengan idea-idea baharu serta berkongsi tentang ciptaan dan perniagaan mereka.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Program StartUp Borneo Abdul Qaiyum Alidin, Pengurus Kanan MPC Wilayah Sarawak Waila Mohd Nasir, Ketua Umum HIPMI KALBAR Denia Yuniarti Abdusamad, Ketua Eksekutif Reka Inisiatif Sdn Bhd Muhammad Haziq Faris Hasnol dan Pengarah Urusan HMN Nadhir Sdn Bhd Awang Habiburllah Awang Ismail.

  • oleh
  • Advertisement