Anda di sini

Baru sokong penuh aktiviti golongan pendidik di Sarawak

Advertisement
 Baru (tengah) bersama tetamu kehormat lain memotong kek sambutan Hari Guru Daerah Baram malam kelmarin.
RAIKAN BERSAMA: Baru (tengah) bersama tetamu kehormat lain memotong kek sambutan Hari Guru Daerah Baram malam kelmarin.

MIRI: Menteri Kerja Raya Baru Bian menyatakan sokongan penuh terhadap aktiviti-aktiviti dianjurkan golongan pendidik di negeri ini.

Beliau memberitahu, sokongan itu sebagai tanda penghargaan beliau terhadap peranan besar mereka dalam melahirkan masyarakat bertanggungjawab.

“Sebagai satu-satunya Menteri Penuh Persekutuan yang dilantik dari Sarawak, saya bersedia dan berusaha menyokong aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak terutama sekali masyarakat guru,” ujarnya.

Sokongan dinyatakan pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Baram di Eastwood Valley Golf and Country, malam kelmarin.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan ADUN Ba’ Kelalan berbangga dengan pelbagai kejayaan dikecapi pelajar dan sekolah di Baram walaupun berdepan banyak kekurangan.

Antara contoh terbaik ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai Limbang dan SK Long Sepiling Baram yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan.

Mengulas mengenai sekolah di Baram, ketika ini terdapat seramai 9,622 pelajar dengan 5,656 murid di 66 sekolah rendah dan 3,966 pelajar di tujuh sekolah menengah.

Manakala, jumlah guru ialah 903 orang di sekolah rendah dan 323 orang di sekolah menengah.

Selain cabaran mendidik Baru berkata, guru berperanan membantu ibu bapa menangani masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, pil khayal, gam dan gengsterisme di kalangan pelajar.

“Saya menyarankan PIBG dan masyarakat memainkan peranan aktif membantu tugas-tugas guru terutama sekali dalam menganjur aktiviti-aktiviti kokurikulum.

“Ini adalah untuk memastikan anak-anak kita sentiasa berada dalam ekologi yang selesa, selamat dan sempurna,” jelasnya.

Tentang sambutan Hari Guru, Baru berkata, 16 Mei merupakan tarikh istimewa untuk semua pendidik di negara ini dan peluang masyarakat memperingati jasa mereka mendidik anak bangsa.

Tema Guru Pemacu Transformasi Pendidikan bertepatan dengan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi pendidikan dan pembangunan negara dicapai dengan lebih cepat dan berkesan.

Hadir sama Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo, Pegawai Pendidikan Daerah Baram Seripah Azizah, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Baram merangkap Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Sarawak Samuel Iwat dan Pengerusi Majlis Pengetua Daerah Baram Matthew Laing.

  • oleh
  • Advertisement