Anda di sini

Bahana dadah, senjata api

Advertisement
 Senjata api yang dirampas daripada suspek.
DIRAMPAS: Senjata api yang dirampas daripada suspek.
 Suspek dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut kerana memiliki dadah dan senjata api.
DITAHAN: Suspek dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut kerana memiliki dadah dan senjata api.

SERIAN: Pemilikan dadah dan senjata api terbongkar susulan penahanan seorang lelaki atas kesalahan trafik dalam satu sekatan jalan raya di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah DSP Aswandy Anis berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) sekitar jam 10.40 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan anggota trafik semasa sekatan jalan raya dan kemudian dibawa ke balai polis untuk diperiksa rekod kesalahan.

“Siasatan awal mendapati terdapat perbualan urusan jual beli barang disyaki dadah di dalam telefon bimbit suspek dan turut dijumpai satu peket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Aswandy memberitahu, anggotanya dari Bahagian Siasatan Janayah Narkotik (BSJN) kemudian melakukan pemeriksaan ke atas rumah suspek di Taman Anggerik, di sini.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui lapan laras senapang angin dan dua laras senapang patah buatan sendiri berserta 20 kotak kecil berisi ‘pallet’ (peluru).

“Kesemua barang-barang tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah, suspek disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 susulan penemuan senapang tersebut.

Bagi kesalahan dadah pula, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 27 tahun turut ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan Tarat, di sini sekitar jam 12.55 tengah malam kelmarin.

“Pemeriksaan terhadap suspek telah menjumpai satu beg kecil yang di dalamnya mengandungi lapan keratan straw tiub berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine,’ katanya.

Suspek kemudian ditahan di IPD Serian untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek terbabit yang juga didapati positif dadah direman selama empat hari sehingga 21 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement