Anda di sini

35 e-Desa diwujudkan bagi merapatkan jurang digital

Advertisement
 Ewon (dua kiri) menunjukkan cara menggunakan komputer kepada dua pengguna cilik selepas merasmikan Pusat e-Desa Kampung Baba, Telupid semalam.
CELIK IT: Ewon (dua kiri) menunjukkan cara menggunakan komputer kepada dua pengguna cilik selepas merasmikan Pusat e-Desa Kampung Baba, Telupid semalam.

BELURAN: Pewujudan 35 e-Desa di negeri ini dapat merapatkan jurang digital di golongan komuniti dari kawasan kurang liputan perkhidmatan perhubungan komunikasi.

Justeru, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedict mahu kerajaan negeri memperluaskan lagi pembinaan e-Desa di beberapa kampung di negeri ini yang kurang mendapat liputan perkhidmatan komunikasi talian telefon.

Katanya ia penting kerana pusat itu menjadi platform untuk penduduk kampung berkomunikasi berhubung dengan dunia luar dan melakukan urusan kerajaan dengan menggunakan kemudahan Internet yang disediakan.

Program e-Desa dilaksanakan dibawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi sejak 2004, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat e-Desa Kampung Baba Telupid dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Setiuasaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Bruno Vun.

Pusat e-desa Kampung Baba Telupid yang dilengkapi dengan 20 komputer dengan kemudahan Internet dibina dengan kos RM800,000 dan beroperasi sejak 2014.

Ewon berkata pusat e-Desa juga menjadi tempat kepada penduduk kanpung untuk mempromosikan kampung itu ternasuk memasarkan produk tempatan kepada dunia luar menerusi media sosial.

Terdahulu, Bruno dalam ucapannya berkata pihaknya sehingga kini menerima banyak permohonan daripada beberapa kampung untuk mewujudkan pusat e-Desa.

Katanya dalam meluluskan permohonan itu, pihaknya mengambil kira komitmen dan minat dari penduduk kampung bagi memastikan pusat e-Desa yang dibina akan diurus serta diguna dengan baik oleh komuniti.

Menurutnya kementerian menyediakan infrastruktur pusat e-Desa dan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan e-Desa yang dibentuk dari kalangan komuniti setempat.

Beliau berkata mereka yang akan mengurus, mengoperasi serta merancang aktiviti harian di Pusat e-Desa berpandukan satu Buku Panduan Operasi Pusat e-Desa dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang berterusan dari pihak kementeriannya. — Bernama

Advertisement