Anda di sini

Syarikat didenda RM50,000 bekal pakaian, kelengkapan sukan tiruan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pakaian didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam bagi kesalahan membekalkan 451 unit pakaian serta kelengkapan sukan jenama Adidas dan Nike tiruan iaitu menggunakan perihal dagangan palsu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat itu yang diwakili pengarah syarikat tersebut Usman Javed, 40,  selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah  terhadap dua pertuduhan itu pada sebutan kes semalam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, syarikat itu didakwa dalam kawalan untuk pembekalan barang-barang telah menggunakan perihal dagangan palsu yang keseluruhan berjumlah 451 unit, antaranya baju, seluar, stoking dan pad lutut jenama Adidas dan Nike.

OKS yang merupakan warga Pakistan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Usman Javed Sdn.Bhd, Lot No.21-07, Tingkat Tujuh, Plaza GM, Lorong Haji Taib 5, di sini pada jam 1 petang, 21 Jun lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta  sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, dan bagi kesalahan yang kedua atau seterusnya didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Alison Chan May Kam memohon hukuman berat  terhadap syarikat tersebut atas alasan dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Kesalahan menggunakan cap perihal dagangan palsu boleh menjejaskan imej jenama itu sendiri, maka saya pohon denda yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, peguam M.Thayalan yang mewakili Usman memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan sumber pendapatannya hanya bergantung kepada perniagaan ini sahaja,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK telah melakukan serbuan dan hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu telah menggunakan dan menjual cap dagang Adidas dan Nike yang tiruan.

Berikutan itu, pihak berkuasa telah menyita pakaian dan kelengkapan sukan yang berada di premis tersebut. — Bernama

Advertisement