Anda di sini

Suspek kes gaduh dicekup

Advertisement
 Suspek melakonkan semula cara dia membuang senjata yang digunakan ke dalam sungai.
BEGINI: Suspek melakonkan semula cara dia membuang senjata yang digunakan ke dalam sungai.

KUCHING: Salah seorang suspek kes pergaduhan di rumah pangsa KMC di Padungan di sini yang mengakibatkan seorang lelaki parah akibat ditikam dipercayai menggunakan parang berjaya ditangkap anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kuching.

Difahamkan, suspek ditangkap hasil risikan dan siasatan polis dan dia yang berpakaian lokap semalam dibawa ke tempat kejadian sebelum mengaku membuang senjata yang digunakannya ke dalam sungai di Petanak.

Susulan itu, suspek dibawa ke Tebingan Kuching dan diarah melakonkan semula cara dia membuang senjata tersebut ke dalam sungai, di mana siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Baru-baru ini, Ketua Polis Daerah ACP Ng Ah Lek dalam satu kenyataan memberitahu seorang lelaki berusia 37 tahun ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian rusuk sekitar jam 3.30 pagi pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa ditemui oleh orang awam yang terus menghubungi pihak polis dan mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

“Keadaan mangsa kritikal dan usaha menjejaki suspek terus dilancarkan (selepas itu),” katanya.

Tambahnya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan orang awam yang mempunyai maklumat juga dipelawa untuk tampil membantu siasatan.

“Kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian amat diperlukan dan pihak polis akan merahsiakan identiti pemberi maklumat,” kata Ng.

Sehingga semalam, difahamkan beberapa suspek telah ditangkap susulan kejadian tersebut dan mangsa difahamkan masih berada dalam keadaan kritikal.

  • oleh
  • Advertisement