Anda di sini

Sorotan 100 hari kerajaan Pakatan Harapan

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Hari ini, 18 Ogos, genap 100 hari sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui pemerintahan negara. Kerajaan PH mengukir sejarah apabila berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) selama lebih enam dekad.

Menjelang PRU14, PH berikrar untuk melaksanakan 10 janji asas seperti yang yang dinyatakan oleh gabungan empat parti itu terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam manifesto Buku Harapan mereka. 

Berikut senarai perkara yang berjaya dilaksanakan kerajaan PH seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya 100 hari mereka.

  1. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini berkuat kuasa 1 April  2015 dikenakan pada kadar sifar peratus dan akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Sept 2018.

  2. Fasa pertama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suri rumah dilaksanakan pada 15 Ogos 2018 bagi menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada kaum wanita.

  3. Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi kelonggaran kepada 433,000 peminjam yang disenarai hitam oleh kerajaan terdahulu kerana tidak melangsaikan pinjaman mereka, manakala bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah turut ditangguhkan.

  4. Harga bahan api tidak lagi diapungkan secara mingguan. Harga RON95 ditetapkan pada harga bersubsidi setiap liter dan RON97 diapungkan secara apungan terurus berdasarkan harga minyak dunia.

  5. Projek mega seperti ECRL, MRT3 dan  HSR disemak semula dengan kos pelaksanaan MRT3 dikurangkan hampir separuh. ECRL dan  HSR sedang dirunding semula dan daya maju kedua-dua projek ini turut diteliti. 

Dalam pada itu, berikut janji pilihan raya yang belum dipenuhi atau sedang diusahakan oleh kerajaan PH.

  1. Mengembalikan hak Sabah dan  Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian  Malaysia 1963 termasuk royalti petroleum kepada kedua-dua negeri.

  2. Gaji minimum tidak boleh dilaksanakan segera, akan dilaksanakan berperingkat.

  3. Hutang peneroka Felda belum berkurangan atau  dihapuskan seperti yang dijanjikan tetapi usaha sedang dilakukan untuk menghapuskan bahagian tertentu hutang berkenaan.

  4. Suruhanjaya diraja untuk menyiasat kerugian yang ditanggung Felda, FGV dan 1MDB tidak akan dilaksanakan oleh kerana kes berkenaan kini menjadi kes mahkamah.

  5. Skim penjagaan kesihatan mirip Skim Peduli Sihat di Selangor yang dijanjikan kepada kumpulan B40 di seluruh negara belum diperkenalkan.  

Selain 10 janji yang terkandung dalam manifesto, PH turut memperlihatkan beberapa peristiwa penting dalam tempoh 100 hari, sebahagian daripadanya dalam konteks manifesto pilihan raya, termasuk pembaharuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memerangi rasuah.

Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas dilantik pada 4 Jun, selain Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjun yang pelantikannya berkuat kuasa pada 11 Julai, dalam langkah untuk memperkukuhkan kedaulatan undang-undang. Lantikan politk, termasuk mereka yang dilantik sebagai duta, wakil khas atau menduduki lembaga GLC oleh kerajaan terdahulu, telah meletak jawatan seperti yang diarahkan.

Kerajaan juga memulakan usaha untuk menuntut kembali wang yang dipindahkan oleh pelbagai pihak daripada 1MDB, termasuk daripada pengurus dana Goldman Sachs. Kerajaan turut berjaya menuntut kembali Equaminity, kapal layar mewah bernilai RM1 bilion pada 7 Ogos, yang dipercayai dibeli oleh ahli perniagaan  Low Taek Jho, a.k.a Jho Low, menggunakan wang yang dipindahkan daripada 1MDB. 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan tiga pertuduhan utama memindahkan RM42 juta pada 4 Julai ke dalam akaun banknya, daripada SRC International, anak syarikat 1MDB. Sebulan kemudian, beliau dikenakan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dengan IMDB.

Dalam menyelesaikan keluhan rakyat, kerajaan memutuskan supaya pemegang kad pengenalan merah berusia  60 ke atas akan diberi kewarganegaraan, khabar gembira bagi 3,407 kaum India tanpa kerakyatan di  negara ini. Biro Tata Negara yang menimbulkan kontroversi telah dibubarkan, bersama-sama dengan Program Latihan Khidmat Negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui PH tidak akan berupaya memenuhi kesemua janjinya termasuk memansuhkan jalan raya bertol.

Bagaimanapun, kerajaan tidak teragak-agak untuk memenuhi janji utama dalam manifesto pilihan raya dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya meskipun berdepan halangan, katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya janji itu perlu dilaksanakan segera dan kerajaan PH akan tetap berupaya menyumbang ke arah Malaysia Baharu. - BERNAMA

Advertisement