Anda di sini

Gannos sokong keputusan beri status kerakyatan

Advertisement

KOTA KINABALU: Gabungan NGO Negeri Sabah (GANNOS) menyokong keputusan kerajaan pusat untuk memberikan taraf warganegara kepada pemegang kad pengenalan merah dan pemastautin tetap berusia 60 tahun ke atas.

Setiausaha Agung GANNOS Datu Mohd Sayadi Bakal berkata dengan keputusan itu pihaknya turut berharap agar kerajaan pusat memberi perhatian terhadap masalah penduduk di Sabah yang tidak mempunyai kerakyatan.

“GANNOS dalam peringkat akhir menyiapkan kertas cadangan untuk dimajukan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebagai alternatif cadangan kepada penyelesaian masalah ‘stateless’ di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata masalah itu menyebabkan kanak-kanak yang ibu bapanya tidak mempunyai dokumen lengkap sukar untuk mendapatkan pendidikan khususnya ke sekolah bantuan kerajaan.

“Adalah menjadi harapan GANNOS agar isu ‘stateless’ khususnya di Sabah akan dapat diberi keutamaan untuk diselesaikan,” katanya.            Selasa lepas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengumumkan pemegang kad pengenalan merah dan berstatus pemastautin tetap berusia 60 tahun ke atas akan diberi taraf warganegara, sekali gus diberi kad pengenalan biru.

Bagi mereka yang berusia bawah 60 tahun, taraf warganegara akan diberi tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan termasuk lahir di Malaysia dan seorang daripada ibu bapa adalah warganegara Malaysia. — Bernama

Advertisement