Anda di sini

Ubah cara berfikir, bekerja selari perubahan politik

Advertisement
 Dr Sim menyerahkan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Noni Rao. Turut kelihatan Lo (kanan) dan Ahmad (tiga kanan).
TAHNIAH: Dr Sim menyerahkan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Noni Rao. Turut kelihatan Lo (kiri) dan Ahmad (tiga kiri).

KUCHING: Pegawai, kakitangan dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mesti mengubah cara berfikir dan bekerja berikutan perubahan senario politik sekarang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan iaitu orang awam mesti pada tahap terbaik dan memenuhi jangkaan mereka.

“Selepas 9 Mei 2018, semua PBT, pengerusi, pegawai hingga petugas di kaunter pertanyaan tidak boleh bekerja seperti sebelum ini.

“KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mesti ditetapkan, ikhlas melaksanakan tugas memberi perkhidmatan memuaskan kepada pelanggan iaitu orang awam serta bekerja secara berpasukan.

“Cara kerajaan Singapura mengurus perbandaran mereka mesti dicontohi, tidak ada istilah ‘menangguh kerja’, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di pekarangan pejabat MPP di sini semalam.

Dr Sim berkata kementeriannya juga akan memberi tumpuan kepada pelantikan ahli majlis dan menyelesaikan masalah staf untuk memastikan PBT benar-benar memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Menurutnya kegagalan PBT memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk akan memberi kesan negatif kepada prestasi Kerajaan Sarawak secara keseluruhannya.

“Majlis perbandaran adalah barisan hadapan perkhidmatan kerajaan negeri, 80 peratus aduan talian khidmat berkaitan dengannya.

“Jika majlis perbadaran dan daerah tidak memberi perkhidmatan seperti diharap rakyat, kerajaan akan ‘jatuh’ kerana apabila rakyat tidak gembira mereka akan menghukum kerajaan, perkara ini harus diberi perhatian,” ujarnya.

Mengenai MPP, Dr Sim berkata ia merupakan PBT yang terluas di Sarawak dan mempunyai cabaran dalam melaksana serta memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasannya.

Ini kerana katanya, MPP menjaga tiga kawasan yang memerlukan perhatian dan penyelesaian berbeza iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

MPP katanya, berdepan masalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di kawasannya kerana kekangan sumber kewangan selepas cukai taksiran untuk kediaman dimansuhkan.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Sarawak akan memberi sokongan kepada MPP untuk menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan itu.

“MPP dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

“Oleh itu pembangunan luar bandar menjadi keutamaan tidak hanya di Padawan tetapi seluruh Sarawak menerusi program transformasi luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dalam ucapan aluannya berkata terdapat tiga perkara penting diberi keutamaan PBT itu untuk lapan bulan tahun ini.

Pertama katanya, memainkan peranan penting dalam aktiviti-aktiviti melibatkan komuniti ke arah pembentukan masyarakat lebih kukuh, kedua, menyediakan peluang-peluang kepada komuniti setempat dalam program pemeliharaan kebersihan dan keindahan alam sekitar.

“Ketiga, MPP memperkenalkan tadbir urus yang baik menerusi kepimpinan telus dan sensitif kepada keperluan, kepentingan serta aspirasi komuniti setempat,” jelasnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim, pegawai-pegawai kanan MPP serta ketua-ketua masyarakat.

  • oleh
  • Advertisement