Anda di sini

Thailand hukum mati ‘Iceman’

Advertisement
 Tan ketika tiba untuk perbicaraannya atas             tuduhan mengedar lebih 200 kilogram dadah di mahkamah Bangkok, Thailand semalam. — Gambar Krit Promsakla/Thai News/AFP
DIHUKUM MATI: Tan ketika tiba untuk perbicaraannya atas tuduhan mengedar lebih 200 kilogram dadah di mahkamah Bangkok, Thailand semalam. — Gambar Krit Promsakla/Thai News/AFP

BANGKOK: Seorang pengedar dadah dari Malaysia yang digelar ‘Iceman’ dijatuhi hukuman mati semalam oleh mahkamah di Thailand selepas dia didapati bersalah menjalankan satu rangkaian narkotik yang menyalurkan keuntungan besar ke dalam perniagaan sah.

Tun Hung Seong ditangkap pada April tahun lepas setelah maklumat diterima bahawa dia telah mengupah seorang lelaki untuk menyeludup hampir 300 kilogram metam-fetamina kristal – dikenali sebagai ais (syabu) – menerusi selatan negara yang meng-alami keganasan.

Penyiasat percaya dia bertindak sebagai penjaga pintu masuk ke pasaran dadah di seberang sempadan Malaysia dan mengubah wang menerusi bar karaoke, hotel dan restoran.

Mahkamah Bangkok mensabit Tun, 65, atas tuduhan mengedar dadah bersama dua wanita Thai dan seorang lelaki Taiwan.

Keempat-empat mereka dijatuhi hukuman mati, tetapi hukuman lelaki Taiwan dan salah seorang wanita Thai terbabit dikurangkan kepada hukuman penjara seumur hidup kerana pengakuan mereka yang “berguna”.

Terletak di sepanjang laluan pengedaran dadah dalam ‘Segi Tiga Emas’, Thailand menyediakan laluan darat untuk penyeludupan metamfetamina dari kilang di bahagian yang tidak ada undang-undang di negara jiran Myanmar dan Laos, dalam perdagangan yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM160 bilion) setahun.

Rampasan dadah di rantau itu sudah melonjak ke tahap tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

Pihak berkuasa Malaysia pada Mei lalu berkata mereka merampas 1.2 tan metamfetamina kristal dari Myanmar yang disembunyikan di dalam paket teh, dipercayai yang terbesar dalam sejarah di negara ini dari segi nilai dan berat.

Thailand membakar lebih enam tan narkotik pada Jun lalu, kebanyakannya metamfetamina.

Dari Oktober hingga Julai tahun ini, kira-kira 1,705 kes dadah dilaporkan di negara itu, berbanding 453 kes dalam tempoh yang sama pada tahun sebelum itu.

Suspek yang didapati me-lakukan kesalahan dadah yang serius berdepan dengan hukuman keras di Thailand dalam satu daripada banyak penjaranya yang terlalu sesak.

Negara itu melaksanakan hukuman mati pertamanya sejak 2009 pada Jun lalu, selepas sebelum itu memberikan gambaran bahawa ia akan memansuhkan amalan tersebut. — AFP

Advertisement